Kerajaan perlu optimum rumah mampu milik - Gerakan
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mengoptimumkan program perumahan mampu milik bagi memastikan ia dijual kepada pemohon yang layak pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi perhatian kepada isu-isu dihadapi golongan tiada rumah dalam pembentangan belanjawan tahun depan.
"Meskipun peningkatan hartanah boleh menambah pendapatan kerajaan tetapi masih banyak golongan dalam negara yang perlu diberi perhatian," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut berharap agar program jaminan kredit perumahan dapat diteruskan dan pengecualian duti setem pembeli rumah pertama diperluaskan serta dilanjutkan bagi membantu rakyat yang benar-benar memerlukan mencapai impian mereka memiliki rumah sendiri.
“Cabaran dihadapi golongan tanpa rumah ini termasuk ketidakmampuan untuk mengejar kenaikan harga rumah, ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan rumah di kawasan berlainan.
"Selain itu, pembeli juga menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan pinjaman rumah serta kekurangan sistem bersepadu untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan," ujarnya.
Jelas Dominic, beliau juga mendengar bahawa ramai pelabur membeli rumah mampu milik secara tidak jujur dan berharap agar kerajaan dapat menangani isu itu dengan menggubal dasar yang berkesan dan menyiasat latar belakang pembeli.
"Dengan cara ini, mereka yang benar-benar memerlukan subsidi dapat tinggal di rumah mampu milik berkualiti dan sudah tentu untuk membina rumah di lokasi sesuai memerlukan panduan data tepat," ujarnya.
Katanya lagi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu meneliti sama ada negara mempunyai pangkalan data bersepadu dalam aspek tersebut.
Dominic menambah, dalam era kenaikan harga barang, membeli rumah menjadi semakin sukar bagi orang ramai terutamanya selepas pandemik Covid-19.
"Walaupun sudah empat tahun berlalu, masih ramai keluarga yang menghadapi masalah penurunan pendapatan," ujarnya.
Lantas beliau bersetuju bahawa rumah mampu milik adalah satu sokongan yang baik untuk golongan muda, bagi membolehkan mereka memiliki rumah pertama di pusat bandar pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.
"Malangnya, di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tanah untuk pembinaan semakin berkurangan dan rumah mampu milik yang baharu dibina semakin jauh dari bandar, menyebabkan kurangnya sambutan manakala rumah terletak di lokasi strategik pula, harganya terlalu mahal untuk kebanyakan orang," ujarnya.
Dalam masa sama beliau turut mendapati bahawa terlalu banyak program rumah mampu milik yang mengelirukan pembeli.
"Semakin banyak projek yang diutamakan kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi, (namun ia) menimbulkan kebimbangan sama ada ia masih boleh memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah atau tidak," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!