Suspek kes samun libatkan anggota polis diberkas
KUALA LUMPUR - Seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih di sini, 31 Julai lalu, ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 45 tahun berasal dari Sabah itu direman enam hari bermula Khamis bagi membantu siasatan selepas ditahan di Lahad Datu, Sabah.
"Semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod jenayah dan kes dadah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Tribute To Tun Hanif di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis mengesan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun berkenaan.
Ia susulan tiga lelaki yang merupakan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah rumah.
Dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun yang bertugas sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan di Batalion 19, PGA Cheras, 12.20 tengah malam pada 1 Ogos lalu.
Susulan itu, seorang lagi suspek yang juga anggota PGA berusia 24 tahun ditahan selepas lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, pada 1 tengah hari.
Seorang suspek orang awam turut menyerah diri di IPD Kajang pada 1.40 pagi 2 Ogos dan direman sehingga 8 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!