Ejen pekerja asing didakwa tipu pelaburan RM58,000

Narendran (kiri) didakwa dengan lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis.
Narendran (kiri) didakwa dengan lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang ejen pekerja asing berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis berkaitan penipuan pelaburan bernilai RM58,000 bagi membekalkan keperluan sebuah hospital tahun lalu.

Tertuduh, N Narendran, 44, didakwa menipu M Punnusamy, 66, dengan memperdaya untuk mempercayai bahawa dirinya dapat memberikan pulangan pelaburan yang tinggi bagi pembekalan barang-barang Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini di antara 13 November hingga 23 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu dengan curangnya mendorong mangsa untuk memasukkan wang berjumlah RM700 hingga RM35,000 ke dalam tiga akaun berbeza milik tertuduh dan syarikat Mess N Medical Supplies milik tertuduh di beberapa bank Cawangan Pasir Puteh di sini.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern kemudiannya menawarkan jaminan RM30,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Namun peguam tertuduh, Nahtan Krishnan merayu agar jumlah tersebut dikurangkan selain pasport tertuduh tidak diserahkan atas faktor pekerjaan tertuduh itu memerlukan pasport berkenaan.

Punitha kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh hanya perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan pasport tidak perlu diserahkan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 November depan sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!