Sijil halal: Henti polemik merugikan Islam
KUALA TERENGGANU - Isu polemik sijil halal yang berlarutan hanya merugikan Islam selain mengeruhkan hubungan agama dan bangsa.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pihaknya menyarankan supaya isu tersebut dikendalikan secara baik tanpa perlu mencabar antara satu sama lain.
"Setelah begitu lama isu serta polemik sijil halal diperkatakan, Alhamdulillah... kenyataan bijaksana Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad telah mempamerkan kebijaksanaan yang amat kita dahagakan.
"Mufti menyatakan sesuatu yang akan menguntungkan semua pihak terutama mereka yang dahagakan kebenaran dan bukan impikan publisiti murahan yang akan merosakkan semua pihak.
"Pendekatan mufti mengingatkan kita kepada cara Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menangani banyak isu agama dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah yang tinggi.
"Tidak ke mana isu ini dibawa dengan memanggil pihak lain dengan gelaran nama yang kurang enak untuk didengar dan saling cabar-mencabar," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, pihaknya turut bersetuju dengan saranan Mufti Kelantan iaitu mengadakan perbincangan tertutup secara ilmiah dan sopan.
"Ini bagi memastikan lebih banyak kefahaman boleh disampaikan dan Insya-ALLAH, berpeluang untuk berdakwah pula.
"Kita perlu menunjukkan akhlak yang lebih mulia kepada pihak lain.
"Jika semua pihak ingin tampil menjadi jaguh yang ditonton bergaduh secara terbuka di alam maya maka yang akan menjadi mangsa besar adalah ketenteraman negara yang akan menyambut Hari Malaysia beberapa hari lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Bahrin turut menyarankan isu tersebut perlu dikendalikan dengan baik supaya ia dapat menguntungkan semua pihak khususnya agama dan negara.
"Marilah kita bersama-sama menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW kesayangan kita dengan mengamalkan sebaik-baik amalan Islam dengan berdakwah penuh bijaksana supaya segala tindakan kita akan menguntungkan Islam dan negara.
"Dunia hari ini penuh dengan pergolakan yang dahsyat. Mana-mana pihak yang berjaya sekalipun dalam pergolakan, sanggupkah kita melihat negara Malaysia jika kita menang menjadi arang, kalah menjadi abu?," ulasnya.
Pada Rabu, sebuah portal media tempatan melaporkan Mohamad Shukri menggesa semua pihak agar menghentikan polemik mengenai pensijilan halal secara terbuka kerana akhirnya merugikan Islam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan persijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Menurut Teresa, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Menerusi satu hantaran video di Tik Tok sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
Perkara tersebut menyebabkan Teresa sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda UMNO itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!