Pencemaran bau: Sekolah agama ditutup teruskan PdPR

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan beberapa buah sekolah ditutup akibat pencemaran bau disyaki bahan kimia di kawasan berkenaan. Gambar kecil: Mohd Fared
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan beberapa buah sekolah ditutup akibat pencemaran bau disyaki bahan kimia di kawasan berkenaan. Gambar kecil: Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Beberapa sekolah agama di sekitar bandar raya ini yang ditutup susulan pencemaran bau termasuk di Kampung Maju Jaya, Taman Perling dan Bandar Baru Uda akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut Exco Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Bahagian Pendidikan Islam memberi kebenaran kepada semua institusi berdaftar yang terkesan akibat pencemeran tersebut untuk tidak beroperasi buat sementara waktu.

“Dua sekolah melibatkan Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan diarahkan tutup sementara selama sehari minggu lalu kesan daripada pencemaran tersebut manakala, Sekolah Agama Kampung Maju Jaya diarahkan tutup sementara mulai 10 September sehingga keadaan mengizinkan dan PdPR dilaksanakan kepada sekolah agama yang ditutup.

“Arahan penutupan pengoperasian sekolah-sekolah ini dikeluarkan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada murid, guru dan kakitangan sekolah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Selain itu, orang ramai, khususnya di kawasan berkenaan juga dinasihati untuk sentiasa memakai penutup hidung dan mulut apabila berada di luar rumah bagi mengurangkan kesan bau tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Sementara itu, Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin pada Khamis mengesahkan tiga sekolah di Kampung Maju Jaya melibatkan SK Maju Jaya dan dua sekolah swasta melibatkan Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah di Kampung Maju Jaya meneruskan sesi PdPR pada Khamis susulan pencemaran bau di kawasan sekitar.

Untuk rekod, ketiga-tiga sekolah berkenaan ditutup dimulai dengan SK Maju Jaya pada Isnin diikuti dengan Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah pada Selasa susulan bau busuk dipercayai akibat bau kimia di Sungai Tebrau yang berhampiran dengan ketiga-tiga sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!