Pencemaran bau: Empat sekolah ditutup kekal PdPR

SK Kampung Maju Jaya ditutup sejak empat hari lalu susulan pencemaran bau.
SK Kampung Maju Jaya ditutup sejak empat hari lalu susulan pencemaran bau.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat sekolah di Kampung Maju termasuk Sekolah Agama Kampung Maju Jaya masih ditutup pada Khamis dan kekal melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, penutupan sekolah itu dilakukan kerana pencemaran bau masih lagi dapat dikesan sekitar sekolah berkenaan.

“Berdasarkan sumber daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pencemaran bau kimia masih lagi boleh dihidu di sekolah terbabit.

“Sekolah terlibat masih melaksanakan PdPR sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khaled berkata, Sekolah Agama Kampung Maju Jaya diarahkan tutup sementara bermula Selasa.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Bahagian Pendidikan Islam memberi kebenaran kepada semua institusi berdaftar yang terkesan akibat pencemaran itu untuk tidak beroperasi buat sementara waktu.

"Sekolah Agama Kampung Maju Jaya yang masih ditutup pada hari ini memiliki 630 murid serta 12 guru.

"Arahan penutupan pengoperasian sekolah ini dikeluarkan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada murid, guru dan kakitangan sekolah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya dalam kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fared berkata, Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan diarahkan tutup sementara selama sehari minggu lalu.

Isnin lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya yang mempunyai 1,024 pelajar dan 64 guru ditutup pada jam 1 petang sebagai langkah keselamatan.

Penutupan itu selepas 21 murid sekolah itu mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah dengan pencemaran bau.

Sehari selepas itu, dua buah sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah yang memiliki 1,232 murid dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (807 pelajar) ditutup.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!