Bot karam: Dua nelayan ditemui selamat, kini berada di Phuket

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam akibat dilanggar sebuah kapal kargo berjaya diselamatkan oleh anak kapal berkenaan dalam kejadian di perairan Kuala Kedah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kedua-dua mangsa berusia 29 dan 50 tahun itu kini berada di Phuket, Thailand.

Menurutnya, maklumat itu disampaikan oleh pengusaha bot nelayan selepas kedua-dua mangsa menghubunginya memaklumkan keadaan mereka.

"Menurut salah seorang mangsa, insiden berlaku apabila sebuah kapal kargo dilihat bergerak rapat lalu terlanggar bot dinaikki mereka yang sedang dalam keadaan statik di unjam," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Siti Nor Salawati berkata, akibat pelanggaran itu, bot dinaiki mereka tenggelam dan kedua-dua mangsa kemudian sempat diselamatkan oleh kru kapal kargo yang terlibat dalam insiden ini.

"Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan baik.

"Polis juga telah meminta mereka untuk tampil memberi keterangan berkenaan insiden ini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Pada Rabu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah menerima laporan aduan satu vesel nelayan tempatan telah karam di kedudukan 31 batu nautika muara Kuala Kedah pada jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Pengarah zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot Penggalang 35 telah diatur gerak ke lokasi vesel dipercayai karam dan berikutan keadaan laut yang agak teruk dan cuaca semakin gelap, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 8 malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!