Premis perniagaan GISB beroperasi seperti biasa

Premis makanan Kafe Ikhwan lengang sewaktu tinjauan dijalankan pada Khamis.
Premis makanan Kafe Ikhwan lengang sewaktu tinjauan dijalankan pada Khamis.
A
A
A

RAWANG - [DIKEMAS KINI] Pusat perniagaan Ikhwan di bawah naungan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di Bandar Country Homes di sini beroperasi seperti biasa.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati selain restoran, operasi perniagaan lain termasuk klinik kesihatan dan pusat rawatan, kedai serbaneka serta ibu pejabat GISB turut beroperasi seperti biasa.

Pemerhatian mendapati, keadaan di pusat komersial itu dilihat suram dengan keadaan dalam restoran pula lengang dengan jumlah pengunjung boleh dibilang.

Pemerhatian hampir sejam mendapati, tiada kanak-kanak bawah umur dikesan bekerja di premis perniagaan terbabit.

Seorang pekerja sebuah premis yang ditemui memaklumkan, perniagaan di kawasan itu terjejas teruk susulan penularan dakwaan wujud sindiket pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak oleh GISB.

Dia yang telah bersama GISB sejak awal mengakui terkejut serta terkilan dengan dakwaan tersebut.

"Saya tak tahu motif dakwaan tersebut tapi dakwaan tersebut tidak benar dan telah menjejaskan perniagaan kami kerana mempengaruhi kepercayaan masyarakat setempat.

"Tiada pekerja bawah umur yang diambil bekerja, jika ada pun hanya pelajar yang ikuti latihan kemahiran, tiada yang bekerja tetap seperti didakwa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Premis perniagaan makanan di pusat perniagaan Ikhwan Rawang lengang tiada pengunjung.
Premis perniagaan makanan di pusat perniagaan Ikhwan Rawang lengang tiada pengunjung.

Dia turut memberitahu, kawasan tersebut tidak terlibat serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa pegawai polis yang turun ke sana untuk proses siasatan.

Dia turut menegaskan, anggota GISB juga tidak terlibat sebarang ajaran sesat seperti didakwa.

"Kami ikut ajaran Islam ditetapkan dan tidak juga melanggar undang-undang seperti didakwa.

"Kami memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan pada masa sama akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa memandangkan tiada arahan penutupan dikeluarkan," katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan PDRM sedang memantau GISB yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak susulan empat laporan terbaharu yang diterima di Selangor.

Ayob Khan berkata, modus operandi syarikat itu dikesan banyak menubuhkan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Katanya, syarikat berkenaan adalah antara serpihan sebuah pertubuhan ajaran sesat diharamkan sebelum ini dan berada dalam senarai 114 kumpulan ajaran sesat dipantau Pasukan Cawangan Khas PDRM.

Sementara itu pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ujarnya, PDRM menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.

Razarudin memberitahu, GISBH kini disiasat antaranya mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).


Tiada kejadian mencurigakan

IPOH - Rangkaian perniagaan milik Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) di Taman Rapat Bistari di sini beroperasi seperti biasa selepas dikaitkan dengan dakwaan sindiket pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja sepertimana tular di media sosial.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian pada Khamis mendapati, pengoperasian premis-premis tersebut antaranya kedai runcit, farmasi, dobi, kafe dan pastri berlangsung seperti mana kebiasaan seperti sebelum ini.

Aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan juga berjalan seperti biasa dengan kehadiran pelanggan terdiri daripada komuniti setempat.

Selain itu, pekarangan luar premis juga kelihatan banyak kenderaan mengisi ruang parkir yang disediakan.

Penduduk mahu dikenali Roslan, 49, berkata, sepanjang hampir 10 tahun menjadi pelanggan di situ, belum pernah melihat kejadian atau perkara yang mencurigakan.

"Bagi saya semua nampak biasa sahaja, pekerjanya pun kalangan orang dewasa dan bukan kanak-kanak," katanya.

Pelanggan mahu dikenali Zaleha, 52, berkata, kewujudan rangkaian perniagaan di kawasan itu telah banyak membantu penduduk setempat mendapatkan barangan dan perkhidmatan.

"Dekat dengan perumahan, jadi memudahkan kami kalau nak beli barang. Di kedai runcit dan farmasi mereka, harganya pun lebih murah berbanding tempat lain," katanya.


Suasana agak lengang

TEMERLOH - Beberapa premis yang dikaitkan milik 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISB) tetap beroperasi seperti biasa pada Khamis.

Namun tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati suasana lengang tidak seperti kebiasaan.

Di premis kafe pula mendapati hanya terdapat beberapa individu dipercayai pelanggan sedang menjamu selera seperti biasa.

Sementara itu, ketika menghampiri premis dobi dipercayai milik GISB kira-kira jam 1 tengah hari, seorang individu mendakwa telah ditutup selepas beroperasi sejak pagi kerana kekurangan pelanggan.


Operasi seperti biasa walau sambutan suram

KUALA TERENGGANU - Rangkaian restoran di bawah GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang dikaitkan dengan isu mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja masih beroperasi seperti biasa walaupun sambutan agak berkurangan.

Tinjauan Sinar Harian di salah sebuah cawangan di daerah ini pada Khamis mendapati suasana di premis tersebut agak suram dan hanya terdapat beberapa pelanggan sedang menikmati makanan.

Menurut seorang individu yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 33, restoran tersebut sentiasa dibuka bagi menerima kunjungan pelanggan.

"Restoran ni selalu buka tak kira pagi atau petang. Saya tak pernah pergi makan cuma sering terserempak dengan pekerjanya di surau berdekatan kawasan ini.

"Kebanyakan pekerja restoran tersebut bukan berasal daripada Terengganu. Ramai yang saya tanya datang dari Selangor.

"Saya juga ada terserempak dengan seorang pekerja wanita yang masih muda, selalu bawa bersama anak. Saya tak pasti dimana dia tinggalkan anaknya itu ketika bekerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, setakat ini dia tidak terserempak dengan pekerja kanak-kanak atau remaja di restoran tersebut.

"Buat masa ni saya tak ada jumpa pekerja kanak-kanak, ada pelerja lelaki dan wanita dewasa masing-masing memakai kopiah dan bertudung labuh," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!