Laporan liwat: Madrasah di Kuala Pilah diserbu

Notis penutupan madrasah ditampal di premis tersebut. Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS
Notis penutupan madrasah ditampal di premis tersebut. Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS
A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Bukan sahaja tinggal bersesak di dua buah rumah malah hanya tilam nipis disediakan buat 40 penghuni kanak-kanak di madrasah di sini.

Madrasah itu disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat berkaitan yang diperiksa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di daerah ini minggu lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pemeriksaan pada 6 September itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan laporan perbuatan liwat membabitkan penghuni di situ.

"Kami ke lokasi membuat pemeriksaan dan sebaik tiba, didapati seramai 40 kanak-kanak lelaki anggaran usia 10 hingga 12 tahun ada di dalam premis berkenaan.

"Ada di antara mereka sedang solat Asar dan ada juga melakukan aktiviti lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS
Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS

Menurutnya, hasil semakan mendapati, madrasah berkenaan tidak didaftarkan dengan JHEAINS bagi menjalankan aktiviti pembelajaran agama Islam di bawah peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Tambahnya, pihaknya juga mengesyaki pengurusan sekolah mempunyai kaitan dengan syarikat yang sedang disiasat pihak polis berdasarkan penemuan songkok dan pakaian yang sering menjadi imej mereka.

Artikel Berkaitan:

"Madrasah ini pernah memohon untuk berdaftar dengan JHEAINS pada 16 Jun 2023, namun tidak diluluskan kerana gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Pada April lalu, satu notis peringatan juga telah diberikan kepada pihak madrasah agar segera mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan sebelum tarikh akhir iaitu 30 April," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki menyifatkan keadaan rumah satu tingkat yang dijadikan madrasah terbabit sebagai tidak kondusif untuk kanak-kanak dari segi keselamatan dan kebersihan.

Ini kerana ujarnya, di situlah mereka belajar, tidur makan dan melakukan aktiviti lain dalam jumlah penghuni yang ramai.

Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS
Sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka diserbu JHEAINS

"Rumah kampung berkenaan mempunyai tiga bilik yang menempatkan bilik belajar, ruang solat, tempat makan dan bilik tidur dipercayai untuk kegunaan 40 pelajar.

"Sepanjang pemeriksaan memang tidak menjumpai sebarang katil dan hanya tilam nipis sahaja digunakan pelajar untuk tidur," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah mengambil tindakan menyita premis berkenaan selain merampas beberapa peralatan pembelajaran yang digunakan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kemua kanak-kanak itu diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penutupan madrasah berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan di bawah seksyen 25c Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di bawah Seksyen 22 Enakmen yang sama.

Mohd Asri turut menasihati kepada semua pihak pengurusan sekolah agama Islam di Negeri Sembilan agar berdaftar dengan JHEAINS dan mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!