'Kami tergamam, lebih 10 ekor gajah melintas depan mata'
IPOH - Empat sahabat berdepan detik cemas apabila terserempak dengan dua kawanan gajah sewaktu melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Pulau Banding, Gerik ketika dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan awal pagi Khamis.
Menurut Zulqarnain Othman, 38, mereka berempat bertolak dari Ipoh jam 1 pagi menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terserempak dengan dua kawanan gajah dianggarkan lebih 10 ekor di lokasi kejadian tersebut kira-kira jam 4.30 pagi.
Jelasnya, ketika itu memang keadaan jalan gelap dan tiada kenderaan lain di atas jalan raya menyebabkan mereka langsung tidak perasan dengan kehadiran kawanan gajah yang sedang melintas itu.
"Mujurlah kami tak bawa laju dan kebetulan juga barang-barang yang kami bawa banyak.
"Kalau tidak mungkin kami terlanggar kawanan gajah itu atau terbabas sebab nak elak haiwan liar itu. Nasib baik kami selamat, tak berlaku perkara tak diingini.
"Dari jauh memang nampak macam ada susuk gelap yang kita ingat makhluk hantu ke apa.
"Tapi bila sudah dekat baru perasan ada dua kawan gajah rupanya. Jadi kami terus berhentikan kenderaan sampai habis semua melintas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu seorang lagi penumpang kenderaan tersebut, Muhammad Farhan Che Zafri, 35, berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan kerana menyebabkan mereka semua terpaku berdepan situasi cemas tersebut.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian kawanan gajah tersebut terdiri daripada gajah dewasa bersama beberapa ekor anak gajah malah salah seekor cuba menghampiri kenderaan mereka, namun kemudian berlalu pergi bersama kawanan tersebut.
"Memang kami tergamam masa itu sebab sangat dekat, depan mata. Nak baca doa apa pun tak terfikir dah sebab jumlah gajah itu terlalu banyak, bukan seekor dua yang kita pernah lihat dalam video atau gambar yang tular sebelum ini.
"Kira-kira lima minit jugak kami berhenti pastikan gajah itu melintas dan jalan selamat baru teruskan perjalanan.
"Tak tahulah itu pengalaman berharga atau pengalaman ngeri sebab kami tak tahu nak beri reaksi macam mana," katanya yang menguruskan produksi acara.
Jelasnya, selain mereka berdua, dua lagi rakannya Mohamad Azzan Ghani, 37, yang merupakan penumpang belakang sempat merakam gambar haiwan itu manakala Maarof Ahmad, 44, selaku pemandu kenderaan itu turut terpaku melihat kawanan mamalia tersebut.
Menurutnya, selepas melepasi kawanan gajah itu mereka amat lega sebelum berhenti seketika di Bukit Bunga dan meneruskanperjalanan ke Kota Bharu, Kelantan sehingga tiba jam 10 pagi.
Muhammad Farhan berkata, mereka merancang untuk pulang ke Ipoh pada Jumaat melalui jalan lain kerana bimbang terserempak semula dengan kawanan gajah berkenaan.
Dalam pada itu, Zulqarnain dan Muhammad Farhan turut berkongsi pengalaman tersebut menerusi Facebook peribadi masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!