Konvensyen Dunia Fujian 2024 dijangka tarik ribuan peserta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persiapan Konvensyen Dunia Fujian 2024, yang bakal berlangsung dari 7 hingga 9 November 2024, kini berjalan lancar dengan penyertaan perwakilan dari seluruh Malaysia dan beberapa negara luar semakin meningkat.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Lim Hock San, konvensyen ini dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dianggap istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-30 Konvensyen Dunia Fujian serta ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

"Konvensyen Fujian 2024 kali ini bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 November, manakala Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan merasmikan Expo Perdagangan Antarabangsa pada 7 November,” katanya.

Tambah beliau, acara tersebut juga akan menampilkan Forum Ekonomi Antarabangsa, yang mengundang tokoh-tokoh berjaya dari pelbagai sektor untuk berkongsi pengalaman dan wawasan mereka.

Konvensyen berkenaan dijangka menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan, khususnya dengan kehadiran lebih 3,500 pemimpin Fujian dari seluruh dunia.

Lim turut memaklumkan bahawa pasukan beliau telah melawat beberapa negeri di China termasuk Fujian, Sichuan dan Beijing serta negara-negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Vietnam bagi menyerahkan surat jemputan rasmi kepada pelabur serta pemimpin perniagaan.

“Kami berharap Konvensyen Fujian Antarabangsa 2024 akan memberikan impak positif kepada negara, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelabur dan mempromosikan sektor pelancongan,” ujarnya lagi.

Konvensyen ini bakal menjadi peluang besar untuk ahli-ahli daripada 251 persatuan Hokkien seluruh Malaysia memperkukuhkan kerjasama global.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!