Kemenangan IAF perkukuh kedudukan dunia Islam - Pas

Abdul Hadi.
Abdul Hadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan The Islamic Action Front (IAF) mendapatkan kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen Jordan bakal memberi peluang kedudukan dunia Islam diperkukuhkan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mudah-mudahan kemenangan itu juga membawa kepada perubahan Islah kepada negara.

"Saya mengucapkan tahniah kepada IAF atas kejayaan mendapatkan kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen Jordan.

“Mudah-mudahan kemenangan ini akan memperkukuhkan kedudukan dunia Islam dan dapat membawa perubahan serta Islah kepada negara demi menjaga kemaslahatan umat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

IAF merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin di Jordan yang mencapai kemajuan ketara dalam pilihan raya Parlimen negara tersebut yang diadakan pada bulan ini.

Difahamkan, parti itu memperoleh 31 daripada 138 kerusi di Parlimen Jordan, dengan 17 kerusi daripada kawasan umum dan 14 daripada kawasan tempatan.

Menurut laporan media antarabangsa, Anadolu Agency, IAF menunjukkan peningkatan ketara berbanding pilihan raya lalu hasil daripada undang-undang baharu yang bertujuan meningkatkan perwakilan parti.

Kejayaan tersebut dikaitkan dengan hubungan akar umbi yang kukuh serta pendirian terhadap isu-isu utama, termasuk sokongan terhadap perjuangan Palestin yang mendapat sambutan daripada pengundi.

Artikel Berkaitan:

Masalah ekonomi seperti kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi turut memainkan peranan dalam meningkatkan populariti parti itu.

IAF juga dilaporkan berjanji bakal menumpukan kepada reformasi ekonomi, termasuk pelan ‘Jordan 2030’ yang bertujuan untuk menangani masalah ekonomi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!