Khairul Aming tutup kilang lima hari bawa staf bercuti
SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman menutup kilang miliknya selama lima hari untuk membawa 100 pekerjanya bercuti di Pulau Pinang.
Menurutnya, kesemua pekerja terbabit disediakan penginapan di hotel bertaraf lima bintang untuk berehat dan bercuti dengan gembira.
“Semua staf dapat hotel lima bintang bilik pemandangan laut beserta duit poket untuk membeli belah.
"Mereka juga boleh bermain pelbagai permainan seperti escape park, parasailing, banana boat, jet ski, berjalan di bandar Georgetown, makan nasi kandar, makan malam eksklusif dan macam-macam lagi.
"Yang penting semua staff dapat berehat dan bercuti dengan gembira," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada Khamis.
Tambah Khairul Aming, sepanjang tempoh percutian tersebut, pekerjanya tidak dibenarkan berfikir soal kerja.
Di ruangan komen, rata-rata warga net berkongsi rasa teruja, malah ramai yang cemburu melihat kesemua pekerja terbabit dimewahkan oleh majikan seperti Khairul Aming.
Dalam pada itu, ramai juga yang meninggalkan komen, mendoakan pempengaruh popular itu dimurahkan rezeki oleh ALLAH SWT kerana menjaga kebajikan pekerjanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!