Kematian Muhammad Al Fateh: Pengasuh akan didakwa esok

Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia ketika dihantar di sebuah taska. Gambar kecil: Zainol
Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia ketika dihantar di sebuah taska. Gambar kecil: Zainol
A
A
A

MELAKA - Pengasuh wanita yang dipercayai mengakibatkan kematian bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri akan didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan terhadap suspek untuk dituduh di mahkamah.

"Suspek yang berusia 34 tahun itu akan dituduh pada jam 9 pagi esok di Mahkamah Alor Gajah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.

Susulan itu, polis telah menahan suspek yang beralamat di Endau, Johor di pusat jagaan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang oleh anggota Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Suspek kini direman selama seminggu selepas perintah reman dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri bermula Sabtu lalu

Hasil laporan bedah siasat yang diperoleh daripada Unit Forensik Hospital Alor Gajah mengesahkan punca kematian Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri adalah kerana lemas.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!