Speedy Tigers kembali 'bernafas'

Malaysia wajib menang ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir ACT di Inner Mongolia pada Sabtu. Foto KHM
Malaysia wajib menang ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir ACT di Inner Mongolia pada Sabtu. Foto KHM
A
A
A

SKUAD hoki negara menghidupkan peluang untuk mengintai kelompok empat terbaik liga sepusingan Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia (ACT) 2024 setelah menewaskan Jepun 5-4 pada Khamis.

Ia merupakan kemenangan pertama skuad bimbingan Sarjit Singh itu setelah terikat 2-2 dengan Pakistan, tewas 2-4 kepada China dan dibelasah India 8-1 pada Rabu.

Aksi terakhir menentang Korea Selatan pada Sabtu menjadi misi wajib menang buat skuad Speedy Tigers untuk mara ke saingan separuh akhir.

Dalam aksi di Hulunbuir, Inner Mongolia, China itu gol kemenangan skuad Speedy Tigers dihasilkan menerusi dua jaringan Syed Syafiq Syed Cholan dan masing-masing satu gol dari Norsyafiq Sumantri, Syarman Mat Tee serta Azrai Aizad Abu Kamal.

Jepun pula meraih dua jaringan dari Ken Nagayoshi, manakala satu gol masing-masing hasil sentuhan Tsubasa Tanaka dan Kazumasa Matsumoto.

Kemenangan tersebut bagaimanapun dibayar dengan harga yang mahal oleh skuad hoki kebangsaan apabila beberapa pemain dilaporkan mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan oleh Sarjit yang memuji karakter pemain, biarpun masih melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya.

"Kemenangan yang bagus, namun perlu dibayar dengan harga yang mahal kerana ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan. Kemahuan, usaha yang baik dipamerkan keseluruhan pemain walaupun adakalanya membuat beberapa kesilapan di atas padang.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan berhak untuk menang pada hari ini (Khamis). Menjaringkan lima gol di peringkat antarabangsa sebenarnya adalah sesuatu yang baik, tetapi jika pemain mengambil setiap peluang sudah pasti pasukan dapat menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan akan membuat persiapan terbaik menjelang aksi terakhir menentang Korea Selatan pada Sabtu.

"Rehat sehari esok (Jumaat), pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup. Korea sebuah pasukan yang bagus.

"Kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk bertemu mereka. Hanya kemenangan yang akan menjamin pasukan untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Pada edisi lalu, Malaysia mara ke pentas final, namun dikecewakan India 3-4 pada perlawanan akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!