Hentikan fenomena mudah angkat individu sebagai ustaz

Budaya mudah mengangkat seseorang individu sebagai ustaz hanya bersandarkan pemakaian, pandai mengutip hadis dan mempunyai pengikut perlu dihentikan bagi mengekang ajaran sesat di negara ini. Gambar hiasan
Budaya mudah mengangkat seseorang individu sebagai ustaz hanya bersandarkan pemakaian, pandai mengutip hadis dan mempunyai pengikut perlu dihentikan bagi mengekang ajaran sesat di negara ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya mudah mengangkat seseorang individu sebagai ustaz atau dijadikan rujukan dalam hal agama Islam hanya bersandarkan pemakaian, pandai mengutip hadis dan mempunyai pengikut perlu dihentikan bagi mengekang ajaran sesat di negara ini.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris berkata, fenomena itu perlu ditentang kerana Islam bukan agama ciptaan manusia, agama budaya atau nenek moyang.

Sebaliknya beliau menjelaskan ia merupakan agama wahyu yang diajar oleh Nabi dan diperturunkan oleh ulama-ulama pewaris Nabi.

“Isu ajaran sesat berpunca daripada kejahilan dan kekeliruan tentang agama. Dalam hal agama, ramai orang memandang remeh, boleh belajar sendiri, boleh baca buku apa sahaja dan boleh dengar daripada sesiapa sahaja.

“Masing-masing menentukan sendiri siapa yang patut menjadi rujukan, mengikut penilaian dan cita rasa masing-masing, asalkan dia pakai jubah dan serban, pandai mengutip ayat dan hadith, ramai pengikut pula maka dia boleh dianggap ustaz dan rujukan dalam agama.

“Mengenal autoriti agama ini bukan sesuatu yang mudah sehingga sesiapa sahaja boleh mendakwa sebagai ulama. Sijil Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pun bukan kriterianya. Ia sesuatu yang serius, berat dan rumit kerana itu tidak sepatutnya diserahkan kepada orang awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mempelajari ilmu agama.

Ini kerana katanya, mendapatkan guru dan ulama yang sebenar-benarnya tidak mudah seperti dibayangkan khususnya di akhir zaman yang banyak fitnah ini.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi OP Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian ditahan menerusi operasi sama.

Beliau turut mendedahkan siasatan polis turut mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal itu adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Terdahulu, GISB menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Syarikat itu dalam masa sama turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang khususnya membabitkan kanak-kanak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!