MOF salur bantuan untuk Kampung Angkat Madani di Hulu Besut

Ramzi (dua dari kanan) ketika majlis penyerahan bot kepada Pejabat Daerah Besut.
Ramzi (dua dari kanan) ketika majlis penyerahan bot kepada Pejabat Daerah Besut.
A
A
A

BESUT - Kementerian Kewangan (MOF) menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani menyerahkan sebanyak 25 bot penyelamat banjir bernilai RM200,000 kepada Pejabat Daerah Besut untuk kegunaan 10 kampung di mukim Hulu Besut.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Ramzi Mansor berkata, sumbangan bot itu dapat digunakan untuk membantu memindahkan penduduk pada musim banjir yang biasanya berlaku pada akhir tahun.

"Kerajaan telah meminta semua kementerian masing-masing memilih kampung yang difikirkan sesuai dan dapat memberi manfaat secara terus kepada penduduk.

"Jadi MOF telah memilih 10 kampung di Hulu Besut yang dapat memanfaatkan hampir 5,000 penduduk di kesemua kampung tersebut iaitu Kampung Batu 13, Kampung Cawangan, Kampung Panchor, Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Kampung Kuala Sayap.

"Pada hari ini, kita telah menyerahkan sebanyak 10 unit bot penyelamat banjir kepada Pegawai Daerah Besut manakala baki 15 unit bot akan diserahkan pada 1 Oktober depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bot Kepada Pejabat Daerah Besut di Kampung Raja di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ramzi berkata, beberapa projek pembangunan fizikal turut dilaksanakan MOF termasuk pembinaan jambatan kecil dan sistem perparitan di Kampung Belaoh bernilai RM100,000; membina gelanggang petanque, sepak takraw, futsal dan fasiliti berkaitan bernilai RM200,000 selain menaik taraf kawasan padang bola Kampung Belaoh bernilai RM150,000.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menaik taraf atau membina Pusat Pemindahan Kekal untuk mangsa bencana terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap serahan bot ini dapat membantu mempercepatkan proses pemindahan mangsa-mangsa banjir ke tempat dikenal pasti iaitu ada empat balai raya yang akan menjadi pusat pemindahan kekal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat memasak.

"Ia bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk dan mangsa banjir dan ini adalah salah satu usaha kerajaan Madani untuk memastikan usaha dan perkhidmatan diberi secara terus pada rakyat," jelasnya.

Ramzi berkata, pelaksanaan semua program penyediaan kemudahan ini turut dipantau Pejabat Daerah Besut dalam memastikan penyempurnaan kemudahan berjalan lancar selain mematuhi jadual demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Nazwawi Harun berterima kasih kepada MOF kerana memilih kampung di Hulu Besut menjadi Kampung Angkat Madani kerana ia memberi manfaat yang baik kepada penduduk.

"Ia memberi kesan yang besar terutama dari segi penyelesaian dan masalah-masalah berbangkit di peringkat kampung tersebut.

"Kita ada jawatankuasa pengurusan banjir biasanya di bawah kelolaan penghulu-penghulu mukim untuk membantu dari segi agihan bot yang disumbangkan ini bagi membantu operasi pemindahan dan bantuan ketika berlaku bencana banjir," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!