Beberapa projek RTB dilaksana selesai masalah banjir di Pulau Pinang - Exco

Kerajaan Pulau Pinang sedang melaksanakan beberapa projek RTB bagi menyelesaikan permasalahan banjir kilat di negeri itu.
Kerajaan Pulau Pinang sedang melaksanakan beberapa projek RTB bagi menyelesaikan permasalahan banjir kilat di negeri itu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan Pulau Pinang sedang melaksanakan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam usaha menyelesaikan permasalahan banjir kilat di negeri itu terutama di kawasan yang kerap dinaiki air.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia termasuk projek RTB Bayan Baru Fasa 1 yang telah dilaksanakan dan dua projek mitigasi berskala besar yang giat dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan impak banjir di bahagian pulau iaitu RTB Sungai Pinang dan RTB Sungai Jawi di Seberang Perai.

"RTB Sungai Pinang sudah pun dimulakan dan mengambil masa dua ke tiga tahun untuk siap manakala RTB Sungai Jawi sekarang dalam proses reka bentuk terperinci yang dijangka siap akhir tahun ini sebelum memulakan pembinaan awal tahun depan.

"Di samping itu, banyak lagi projek lain berskala kecil yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menyelesaikan permasalahan banjir di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Dua di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pulau dan Seberang Perai termasuk di Bayan Baru susulan hujan lebat baru-baru ini.

Zairil berkata, projek RTB Bayan Baru Fasa 1 telah dilaksanakan namun ia tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir khususnya beberapa laluan di Jalan Mahsuri yang dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan dan air pasang.

"Ini kerana satu skop dalam projek RTB Bayan Baru telah dikeluarkan selepas mengambil kira kebimbangan penduduk ketika itu yang mahu mengekalkan pokok sedia ada, disebabkan itu collector drain yang sepatutnya termasuk dalam projek tersebut tidak dapat dibuat menyebabkan masalah banjir kilat masih berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang dalam proses pertimbangan untuk meneruskan Projek RTB Bayan Baru Fasa 2 yang melibatkan pembinaan collector drain kerana sekiranya dilaksanakan pokok di kawasan tersebut terpaksa ditebang.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat, antaranya sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru di bahagian pulau dengan melibatkan laluan di Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang, Kampung Jawa, Lintang Nibong dan Sungai Ara manakala Seberang Perai melibatkan kawasan sekitar Kepala Batas dan Bertam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!