Hormati proses pemilihan rektor baharu UIAM - Alma96
SHAH ALAM - Semua pihak perlu menghormati proses pemilihan rektor baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak terburu-buru membuat kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi institusi pengajian tersebut.
Pengerusi Persatuan Alumni Matrik UIAM 1996 (Alma96), Mohamed Ibrahim Kunji Mohamad berkata, kenyataan Persatuan Alumni UIAM berhubung isu itu dilihat tidak mencerminkan adab dan budi yang seharusnya menjadi perwatakan legasi alumni badan pengajian berkenaan.
Ujar Mohamed Ibrahim, pihaknya percaya bahawa prosedur pemilihan itu perlu dilakukan dengan teliti dan penuh tanggungjawab oleh kerajaan.
“Kami berpendapat bahawa adalah tidak manis bagi persatuan alumni untuk mengeluarkan kenyataan yang kelihatan agak garang dan kelihatan memaksa.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa persatuan alumni tidak sepatutnya mendesak kerajaan seperti yang dinyatakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Rektor ke-6 UIAM digalas oleh Profesor Emiritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan beliau menamatkan perkhidmatannya selepas enam tahun menyandang jawatan berkenaan.
Pada Isnin, Persatuan Alumni UIAM meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyegerakan pengumuman rektor baharu UIAM.
Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan jawatan rektor sejak 31 Ogos lalu dilihat tidak baik dari segi tatakelola malah, perlu dilakukan serta-merta bagi memulihkan kembali kedudukan UIAM yang telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.
Menurut Mohamed Ibrahim, kerajaan pasti sedar dan memahami kepentingan untuk memilih calon terbaik dalam mengisi kekosongan jawatan rektor UIAM.
Ulasnya, selain mencermati gagasan tatakelola dan pelaksanaan proses ketekunan, tentunya kerajaan memahami identiti serta matlamat utama penubuhan organisasi pengajiani itu.
“Calon yang dilantik mestilah berwibawa dan berkebolehan tinggi dari segi daya kepemimpinan organisasi serta mempunyai daya keintelektualan akademia yang tinggi.
“Selain itu, mempunyai kesalinghubungan akademi tempatan dan antarabangsa yang sangat baik, serta keiltizaman tinggi untuk membawa hala tuju matlamat UIA sebagai sebuah universiti harapan ummah,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!