Hafizh Syahrin mahu menang pusingan kelima ARRC 2024 di Sepang

Hafizh Syahrin Abdullah
Hafizh Syahrin Abdullah
A
A
A

PELUMBA Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menyasarkan memenangi pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Berbaki dua pusingan, kemenangan itu penting bagi membolehkan Hafizh Syahrin menguasai tempat teratas dalam kategori kelas elit Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) musim ini.

Bagaimanapun, pelumba berusia 30 tahun itu mengakui ia bukanlah satu tugas mudah kerana pelumba Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar dari Indonesia pasti memberikan saingan sengit.

“Bagi saya, ya (memenangi perlumbaan) dan kami sangat mengharapkan. Sasaran kami hanya untuk berada di hadapan Andi Farid kerana pertarungan antara saya dan dia sentiasa kompetitif sejak awal musim lagi.

“Saya mengenali trek ini dengan baik dan ini juga adalah tanah air saya. Saya akan berusaha mengutip sebanyak mungkin mata dengan jentera Ducati Panigale V4R di laman sendiri,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Ketika ini pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu ketinggalan enam mata di belakang Andi Farid yang mendahului kedudukan teratas ARRC dalam kategori ABS 1000 dengan 116 mata.

Sementara itu, Hafizh berkata kehadiran penyokong tempatan khususnya peminat JDT akan meningkatkan motivasinya untuk beraksi lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya suka melihat bagaimana peminat JDT menyokong pasukan bola sepak mereka dan saya teruja untuk melihat bagaimana mereka akan menyokong pasukan JDT Racing kami kerana ini adalah tahun pertama kami di Sepang.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan menghargai setiap perkara yang mereka lakukan untuk saya pada perlumbaan ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan kepada mereka kemampuan saya,” katanya.

Selepas Malaysia, saingan ARRC 2024 akan menutup tirainya di Litar Buriram, Thailand dari 6 hingga 8 Disember depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!