Tak tahan diganggu gengster, lima sekeluarga rayu pindah PPR

Abdullah menunjukkan laporan polis dibuat berikutan keluarganya diganggu samseng di PPR yang didudukinya di Pulau Pinang.
Abdullah menunjukkan laporan polis dibuat berikutan keluarganya diganggu samseng di PPR yang didudukinya di Pulau Pinang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Tolonglah saya, setiap hari keluarga saya diganggu gengster," luah seorang lelaki yang merayu kepada pihak berkaitan supaya segera meluluskan permohonan pertukaran pindah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) didiaminya di Pulau Pinang ke kawasan lain.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, dia dan isteri serta seorang anak lelaki berusia 2 tahun datang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sejak Isnin lalu semata-mata untuk mengemukakan permohonan itu kepada pihak berkaitan.

Katanya, disebabkan tidak kenal sesiapa di Kuala Lumpur, dia terpaksa menjadikan kaki lima kedai dan masjid sebagai tempat tidur pada malam hari dan ke pejabat agensi berkaitan pada siang hari.

"Saya tak ada pilihan... nyawa keluarga saya terancam. Sudah lebih tiga laporan polis dibuat berhubung apa yang menimpa saya tetapi keadaan masih sama dan kami berterusan diganggu.

"Saya harap dapat tukar unit PPR di kawasan lain di Pulau Pinang atau di Kuala Lumpur. Saya tak mampu lawan orang yang mengganggu kami kerana saya menghidap penyakit jantung dan juga sakit saraf," katanya.

Abdullah menghidap penyakit jantung dan saraf.
Abdullah menghidap penyakit jantung dan saraf.

Menurutnya, surat permohonan sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Ahli Parlimen Jelutong, pejabat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap ada jawapan positif daripada mereka dan saya juga mohon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bantu," katanya.

Abdullah berkata, sebelum ini dia menerima bantuan perumahan di sebuah PPR di Pulau Pinang.

Bagaimanapun dia mendakwa, sejak 10 bulan lalu kehidupan mereka lima sekeluarga di rumah itu termasuk isteri, dua anak, anak saudara dan kakak iparnya terancam setiap hari.

"Ada beberapa kumpulan penduduk di PPR itu tak suka saya dan keluarga tinggal di kawasan itu... mereka taburkan kaca, rosakkan motosikal saya, malah turut membuang sampah ke dalam rumah.

"Sehingga kini anak lelaki saya yang berusia 8 tahun tidak ke sekolah kerana saya bimbang keselamatannya ketika berada di luar.

"Saya sudah hantar surat permohonan ke pejabat beberapa menteri dan wakil rakyat untuk mohon tukar unit PPR, namun belum dapat jawapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!