SPRM tahan suami bekas pegawai eksekutif GLC disyaki salah guna jawatan
KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pemilik syarikat yang juga suami kepada bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja bernilai kira-kira RM1.4 juta.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
"Penahanan lelaki itu susulan tangkapan terhadap isterinya yang kini direman enam hari sejak Selasa lepas bagi membantu siasatan.
"Wanita tersebut yang juga suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang serta menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja bernilai kira-kira RM1.4 juta," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek ditahan bagi tempoh 24 jam dan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebaik proses merakamkan keterangan selesai dilakukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!