Ilmu kunci kejayaan anak muda, kemajuan negara - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, anak muda di negara ini harus mengutamakan ilmu pendidikan sebagai asas penting dalam membina dan memajukan negara di masa depan.

Beliau berkata, bangsa Melayu khususnya juga perlu tampil ke hadapan dan membuktikan keupayaan serta kebolehan mereka.

"Saya berharap kita semua akan kuat belajar dan menguasai ilmu kerana ia amat penting untuk masa depan kita,” katanya pada Majlis Amanat Tun Dr Mahathir kepada graduan ITM/UiTM di sini hari ini.

Beliau juga menyifatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang istimewa dan berperanan besar dalam memperkasakan masyarakat Melayu.

UiTM baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya sebagai sebuah universiti pada 28 Ogos.

Mengimbau sejarah penubuhan UiTM, Dr Mahathir berkata universiti itu sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM).

ITM bermula sebagai Dewan Latihan RIDA (Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung) yang ditubuhkan pada 1956 di Petaling Jaya, Selangor, dengan matlamat untuk melatih golongan bumiputera dalam bidang perniagaan dan perdagangan serta membantu pembangunan masyarakat luar bandar.

Dr Mahathir turut menekankan bahawa bangsa Melayu memiliki kebolehan yang setanding dengan bangsa lain.

Artikel Berkaitan:

"Yang menjadi persoalan ialah kita tak guna kebolehan kita. Jika ada kekurangan kita harus berusaha untuk menambah dan memperbaikinya...tetapi kita tak tambah.

"Semasa saya menjadi Menteri Pendidikan kita tak bagi biasiswa hanya kepada pelajar nombor satu dan kedua, kita bagi kepada pelajar yang berada di kedudukan ketiga, keempat dan kelima. Hasilnya kita dapati mereka juga mampu menunjukkan kebolehan mereka apabila diberikan peluang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!