Tak sempat simbah cat, dua along kena cekup

Azizi Mat Aris
Azizi Mat Aris
A
A
A

IPOH - Misi gagal. Itu yang boleh dikatakan apabila dua lelaki dipercayai sindiket along dicekup orang awam ketika cuba menjalankan kerja menyimbah cat dan menampal notis di sebuah rumah dipercayai peminjam di Bercham di sini pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.10 tengah hari, kehadiran suspek warga tempatan itu disedari pemilik rumah yang kemudiannya bertindak mengejar mereka menaiki kenderaan.

Menurutnya, tiba di Jalan Lebuh Bercham Timur dekat Taman Rima Gamelan, kereta dipandu suspek terbabas lalu berlaku pergelutan bersama pemilik rumah dan orang awam yang membantu menangkap suspek.

"Dalam kejadian ini, kedua-dua suspek mengalami cedera ringan. Mereka yang berjaya ditahan kemudiannya diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas dua lelaki tersebut menjumpai empat bungkus plastik mengandungi cecair merah disyaki cat dan 17 helaian kertas putih bertulis butir-butir peminjam yang gagal membuat bayaran.

Katanya, semua barangan berkenaan bersama tiga telefon bimbit telah dirampas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terjerumus ke perangkap pinjaman wang tanpa lesen terutama secara dalam talian bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!