Isu GISB: Wanita MCA cadang 5 penambahbaikan kepada kerajaan

Wong You Fong
Wong You Fong
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menyarankan kerajaan melakukan lima langkah penambahbaikan bagi memastikan kejadian seperti eksploitasi kanak-kanak dan remaja yang didakwa melibatkan kumpulan perniagaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) tidak berulang.

Ketua Wanitanya, Datuk Wong You Fong berkata, antara cadangan tersebut adalah meningkatkan pemantauan di rumah-rumah kebajikan yang terdapat di negara ini.

“Jika perlu, tubuhkan pasukan petugas khas pemantau bagi memastikan semua rumah kebajikan mematuhi peraturan dan tidak menyalahi undang-undang.

“Langkah kedua ialah menjalankan pemeriksaan mengejut (di rumah kebajikan) secara kerap,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Ujar You Fong, kerajaan juga perlu mengenakan hukuman tegas terhadap mana-mana pengusaha rumah kebajikan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan dan menggesa agensi kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada agar seiring dengan peredaran semasa.

“Ia bagi memastikan kanak-kanak di bawah penjagaan rumah kebajikan menerima pendidikan secara formal, sama ada melalui sekolah kerajaan ataupun program pendidikan di rumah mengikut silibus yang ditetapkan kerajaan.

“Pemeriksaan kesihatan juga harus disediakan bagi memastikan kesihatan penghuni rumah kebajikan tidak diabaikan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak didapati mendera, mengabai atau mengeksploitasi kanak-kanak didakwa di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 tanpa sebarang kompromi.

“Diharapkan tindakan segera dan tegas dikenakan terhadap pihak tidak berhati perut ini, seterusnya membuktikan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dan menghantar mesej kepada semua bahawa mana-mana bentuk penganiayaan kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!