Kejinya perbuatan mereka

No Image Caption
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menjadi antara topik hangat diperkatakan rakyat Malaysia.

Pada Rabu, polis telah menyerbu 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu di Selangor dan Negeri Sembilan dan telah menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun.

Lebih mengejutkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan modus operandi di rumah amal itu adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Berita itu ternyata membangkitkan kemarahan ramai dan mendesak agar dalang utama dihadapkan ke mahkamah.

Meliwat merupakan satu kesalahan dan dosa akibat nafsu songsang. Mendidik cara-cara meliwat itu satu perbuatan yang sangat jijik dan tidak boleh dibayangkan betapa kejinya perlakuan itu.

Selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

Memang tak masuk akal amalan songsang itu dilakukan oleh sebuah kumpulan berteraskan agama. Jika benar ia berlaku maka kerajaan sepatutnya mengharamkan pertubuhan ini.

GISBH diasaskan daripada sisa-sisa kumpulan Al-Arqam yang telah diisytiharkan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994, ditubuhkan dengan misi kononnya untuk menyedarkan umat Islam agar lebih menghayati makna Islam.

Artikel Berkaitan:

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mendapat penghargaan dari orang ramai kerana dikatakan menjadi individu terawal yang banyak mengkritik syarikat tersebut.

GISBH bagaimanapun menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu minggu lalu di Seremban, Negeri Sembilan

Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitain perlu mengemukakannya kepada pihak berkuasa supaya boleh diambil tindakan.

Jangan takut untuk melaporkannya. Kita bimbang jika tidak disekat daripada awal ia akan membawa kemudaratan yang lebih besar.

Kanak-kanak adalah amanah kita yang sepatutnya dididik dengan akhlak Islam, bukannya diperlakukan dengan sedemikian rupa oleh manusia-manusia bertopengkan agama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!