Jagalah kebersihan dewan makan sekolah

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

DEWAN makan sekolah yang bersih memberi keselesaan kepada pelajar untuk menikmati makanan dengan tenang tanpa rasa ragu-ragu mengenai tahap kebersihan.

Malah, keracunan makanan juga boleh dielakkan dengan memastikan setiap sudut dewan makan tidak kotor sekali gus mengurangkan risiko bahan tercemar memasuki makanan.

Bagaimanapun, tidak semua dewan selera di sekolah berada dalam keadaan baik, ceria dan bersih.

Sikap sesetengah individu yang kurang mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan mengundang masalah dewan makan kotor.

Tidak terkecuali sikap sambil lewa dan kekurangan kakitangan juga menjadi sebab mengapa keadaan dewan selera sekolah tidak berada dalam keadaan yang sepatutnya.

Baru-baru ini, kecoh dalam kalangan rakyat Malaysia apabila dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak berada di tahap yang tidak memuaskan.

Makanan yang disediakan kepada pelajar juga dikatakan mengandungi ulat dalam nasi, sayur dan serangga hingga memeranjatkan ramai.

Penulis sendiri sangat terkejut dengan apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Bagaikan tidak percaya bagaimana sebuah institusi pendidikan di Malaysia ini boleh terlibat dengan isu dewan selera tidak bersih sedangkan MRSM sangat terkenal dengan sekolah yang menawarkan pendidikan berkualiti dalam persekitaran kompetitif dan kondusif.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa dukacita dengan apa yang terjadi di MRSM Taiping.

Katanya, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi sebelum ini, seramai 31 pelajarnya mengalami keracunan makanan sehingga dikejarkan ke hospital 30 Ogos lalu.

Dalam siri lawatan mengejut ke MRSM itu, beliau terus mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan kontrak kontraktor dewan makan yang didakwa tidak mematuhi piawaian menu dan kebersihan yang telah ditetapkan.

Pihaknya juga akan mengheret kontraktor berkenaan ke mahkamah ekoran mencetuskan risiko kesihatan kepada para pelajar.

Beliau turut berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah mengarahkan dewan selera itu ditutup hingga 20 September ini.

Untuk info, isu dewan makan MRSM Taiping bukanlah perkara baharu.

Sebelum ini pun, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan pernah memaklumkan, dewan makan tersebut diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan membabitkan pelajar mereka akhir Ogos lalu.

A Sivanesan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) menerima 30 notifikasi kes keracunan makanan pada tarikh kejadian (30 Ogos).

Hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar mempunyai sejarah makan di dewan makan berkenaan dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah.

A Sivanesan melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku (keracunan makanan) dan laporan tentang kejadian itu dihantar kepada pihak sekolah dan Mara untuk tindakan lanjut.

Susulan penutupan MRSM Taiping, besar harapan penulis agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan semua pelajar dan juga guru.

Seperti kata Asyraf Wajdi dalam video yang tular di laman sosial:

“Saya tidak peduli kabel sebesar mana sekalipun, kalau melibatkan soal keselamatan dan kesihatan anak-anak pelajar MRSM, tindakan tegas akan diambil. Saya telah mengarahkan Bahagian Undang-undang Mara untuk segera ambil tindakan menamatkan perkhidmatan Kontraktor Dewan Selera MRSM Taiping dan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadapnya,” katanya.

Penulis yakin, jika kebersihan dewan selera terjaga, suasana sekolah akan menjadi lebih selesa, ceria dan menyeronokkan sepanjang masa.

* Roshlawaty Raieh ialah Wartawan Sinar Bestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!