Kongres tidak setuju guru tegur sistem pendidikan kembali berkhidmat

Laporan Sinar Harian pada 9 September 2024
Laporan Sinar Harian pada 9 September 2024
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) tidak bersetuju cadangan guru dikenakan tindakan tatatertib, diberhentikan atau meletak jawatan secara sukarela kerana menegur tentang sistem pendidikan negara diberi peluang untuk kembali berkhidmat.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan ke atas guru terlibat tidak dilakukan secara tergesa-tergesa dan dengan mudah,sebaliknya telah melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat, teliti dan tempoh masa panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau menjelaskan, kebiasaannya guru yang akan dikenakan tindakan telah diberi peluang sebanyak tiga kali,selain diberikan tempoh rayuan untuk berbincang tentang perkara itu.

"Sebenarnya untuk menjatuhkan apa- apa hukuman kepada guru-guru yang lantang bersuara, ia melalui satu proses yang ketatlah dan SOP yang telah ditetapkan.

"Proses melibatkan (tindakan ke atas guru) bermula di peringkat sekolah, kemudian kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),barulah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Kongsi Mohd Azizee lagi, proses yang diambil sebelum membuat sebarang keputusan amatlah panjang melainkan guru itu sendiri memohon untuk berhenti atau bersara awal.

Menurut beliau, guru terlibat akan diberi peluang untuk berkelakuan baik dan tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej institusi pendidikan.

Bagaimanapun, kata beliau, guru terbabit akan dibawa ke peringkat seterusnya sekiranya tidak mengambil peluang diberikan dan berterusan bersuara.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, guru terikat dengan peraturan dan etika penjawat awam,sekaligus tidak boleh bertindak sendiri dalam memberikan pandangan.

"Jikalau, (ada) sebarang (perkara) hendak beri aduan atau pandangan tentang dasar-dasar KPM,masalah polisi, kita perlu ikut saluran lah sebenarnya,"katanya.

Mohd Azizee berkata, terdapat banyak platform boleh digunakan termasuklah melalui libat urus, mesyuarat input maklum balas ataupun persatuan seperti Kongres sendiri,sekaligus guru dinasihatkan menggunakan saluran betul menyuarakan pendapat.

"Sebagai penjawat awam,guru terikat dengan akta dan tidak boleh dicemarkan nama baik (institusi pendidikan)," katanya.

Tambah Mohd Azizee, guru juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan tanpa mendapat kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu.

"Saya rasa tindakan untuk kita menawarkan balik kepada guru terbabit,saya tidak bersetuju kerana tindakan yang dilakukan telah melalui proses-proses, SOP tertentu dan sehinggalah diberi peluang, akhirnya, (guru terlibat) sama ada dikenakan tindakan ataupun dia memang bersara awal,"katanya.

Jelas beliau, guru itu sebenarnya boleh membuat rayuan namun sekiranya dia tidak membuat rayuan dalam tempoh ditetapkan,kemungkinan dia telah membuat pilihan untuk berhenti ataupun bersedia dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, kemungkinan agak sukar untuk guru dikenakan tindakan terbabit untuk dibenarkan kembali mengajar di sekolah biasa.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana guru dikenakan tindakan kerana lantang bersuara ini masih meneruskan khidmat dengan mengajar di sekolah swasta ataupun institusi pendidikan bersesuaian sekiranya masih berminat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pandangan Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad bahawa sebahagian guru yang dikenakan tindakan tatatertib, diberhentikan atau meletak jawatan secara sukarela kerana menegur tentang sistem pendidikan negara sepatutnya diberi peluang kembali berkhidmat di sekolah.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau mengakui agak terkilan dengan situasi yang berlaku kerana segelintir daripadanya menyatakan perkara yang benar tetapi terpaksa menerima akibat hanya disebabkan lantang bersuara.

Menurut beliau, kini KPM menyedari bahawa silibus pendidikan sebelumnya bermasalah dan bertindak melaksanakan Intervensi Kurikulum,sekaligus guru dibawa masuk kembali ke dalam sistem pendidikan negara kerana menyatakan perkara yang benar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!