Kes eksploitasi, dera kanak-kanak boleh meningkat jika dibiarkan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ISU melibatkan mangsa bawah umur seolah-olah tidak berkesudahan apabila orang ramai dikejutkan lagi dengan berita berhubung penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat jagaan, Ogos lalu.

Dakwaan melibatkan tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 19 yang didakwa di dua Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis, menghadapi empat pertuduhan membabitkan perbuatan tersebut.

Puteri Nurin Amalina yang juga merupakan seorang pembantu penjaga kanak-kanak bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Isu ini sudah tentu membuatkan ramai ibu bapa tidak senang duduk memikirkan seribu satu persoalan mengenang keadaan anak mereka yang ditinggalkan di pusat jagaan.

Sebut sahaja pusat jagaan, pastinya akan teringat laporan media berhubung serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Khamis berkata, polis sedang melaksanakan proses menemu bual 402 kanak-kanak yang diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujar Razarudin, proses itu berkemungkinan mengambil masa kira-kira 14 hari untuk diselesaikan.

Dalam masa dua tiga hari sahaja, isu sama ada berkaitan eksplotasi atau penderaan fizikal pasti akan membabitkan mangsa kanak-kanak.

Jika ditinjau laporan berita menerusi platform media sosial, rata-rata netizen pastinya mengecam aktiviti berkenaan dan menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat.

Namun begitu apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana isu seperti ini kekal berlaku dan di mana peranan undang-undang dalam hal tersebut.

Kerajaan perlu sedar isu ini melangkaui kepentingan politik dan ekonomi negara kerana ia melibatkan generasi muda yang juga bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti.

Penegasan dari segi tangkapan sahaja tidak memadai sebaliknya, sebuah dasar penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terhadap operasi pusat jagaan perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Pemimpin negara perlu memainkan peranan dalam hal ini kerana kes-kes eksploitasi dan penderaan fizikal melibatkan kanak-kanak berkemungkinan meningkat jika dibiarkan tanpa langkah proaktif daripada kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!