Peminat United kena tunggu debut Ugarte
HASRAT peminat Manchester United untuk melihat Manuel Ugarte menyarung jersi The Red Devils buat kali pertama pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton, Sabtu ini tidak kesampaian apabila pemain tengah Uruguay itu belum cukup cergas untuk diturunkan dalam perlawanan tersebut.
Pada Selasa lalu, Ugarte diturunkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela biar pun tidak cergas sepenuhnya.
Dalam perlawanan itu, Ugarte beraksi 90 minit, namun dia mengakui kurang selesa sepanjang tempoh tersebut.
"Saya berasa sedikit lemas mungkin faktor cuaca panas atau mungkin juga saya baru pulih daripada demam," ujarnya.
Peminat United sebelum ini berharap Ugarte diturunkan di Stadium St Mary bagi mengambil alih posisi Casemiro di bahagian tengah.
Persembahan Casemiro sebelum ini dikritik teruk susulan kekalahan memalukan 0-3 di laman sendiri kepada Liverpol pada 1 September lalu.
Sebagai rekod, Ugarte melengkapkan pembelian hari terakhir United pada jendela perpindahan musim panas dari Paris Saint-Germain (PSG).
Ugarte hanya menghabiskan semusim bersama PSG dan menyertai United dengan yuran awal yang dilaporkan 50 juta euro (RM238 juta), dengan tambahan 10 juta euro (RM47.7 juta) bagi bayaran berkaitan prestasi.
Pemain berusia 23 tahun iut muncul pembelian kelima terbesar United pada jendela perpindahan selepas pemain pertahanan Leny Yoro, Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui serta penyerang Belanda, Joshua Zirkzee.
Dia menang Ligue 1 dan Piala Perancis bersama PSG musim lalu tetapi gagal meraih tempat secara kerap dalam kesebelasan utama Luis Enrique selepas perpindahan bernilai 60 juta euro (RM286 juta) dari Sporting Lisbon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!