Seludup minuman keras tapi ikrar perabot, jaring ikan
PELABUHAN KLANG - Taktik sindiket penyeludupan membawa masuk minuman keras melalui Pelabuhan Utara di sini dengan mengikrar sebagai barang perabot dan jaring ikan terbongkar baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dua kes yang direkodkan melibatkan rampasan 4,902 liter dengan nilai RM305,000 termasuk cukai dan duti.
"Kes pertama direkodkan pada jam 5.15 petang 30 Ogos lalu, selepas pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 1,372 liter minuman keras disyaki tidak berkastam melalui penahanan sebuah kontena.
"Sindiket membuat pengikraran yang tidak benar iaitu perabot di Borang Kastam 1 bagi mengaburi pihak berkuasa selain meletakkan dagangan di bahagian belakang kontena bersama barangan yang lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagi kes kedua, beliau berkata, sebuah kontena ditahan pihaknya pada jam 8.20 malam, 2 September lalu.
Katanya, pemeriksaan menemui 3,530 liter minuman keras disyaki tidak bercukai.
"Siasatan mendapati sindiket membuat ikrar palsu di Borang Kastam 1, dagangan tersebut diikrarkan sebagai jaring ikan dari negara jiran," ujarnya.
Tambahnya, siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Ujarnya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan kegiatan tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!