Dari suara Melayu kepada Islam

Usaha Dr Burhanuddin Al-Helmi tuntut kemerdekaan negara tak pernah luntur walaupun banyak cabaran

WALAUPUN nama Dr Burhanuddin Al-Helmi tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod rasmi kemerdekaan negara ini, tetapi beliau dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan negara yang bersatu./ Gambar kecil: DR FARID MAT ZAIN
WALAUPUN nama Dr Burhanuddin Al-Helmi tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod rasmi kemerdekaan negara ini, tetapi beliau dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan negara yang bersatu./ Gambar kecil: DR FARID MAT ZAIN
A
A
A

DR BURHANUDDIN AL-HELMI berketurunan campur antara Minangkabau dan Arab, dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911.

Menjejaki salasilah, bapanya merupakan seorang agamawan bernama Muhammad Nor Kasim berasal dari Sumatera, sementara ibunya, Sharifah Zahrah Habib Osman berketurunan Arab. Ayahnya datang ke Perak sekitar tahun 1908 sekembalinya menunaikan haji dari Makkah.

Sejak kecil, beliau sudah terdedah dengan pendidikan agama hinggakan mahir dalam tafsir al-Quran dan hadis. Figura itu sangat meminati ilmu bahasa terutamanya bahasa Arab.

Tidak hairanlah kecenderungannya itu membuatkan beliau boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam lima bahasa lain iaitu Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu di Behrang Ulu, Perak kemudian ke Bakap sehingga Darjah Tiga. Selepas itu, beliau melanjutkan pembelajarannya di Kota Bharu negeri sama.

Sekitar tahun 1924, beliau menamatkan sekolah Melayu sebelum dihantar ke Padang Panjang, Sumatera untuk menambah lagi ilmu agama Islam.

Setelah dua tahun berkelana, beliau pulang ke pangkuan keluarga. Bapa menghantarnya ke pengajian pondok, tetapi Dr Burhanuddin Al-Helmi kurang meminatinya.

Artikel Berkaitan:

DR BURHANUDDIN AL-HELMI
DR BURHANUDDIN AL-HELMI

Akhirnya, beliau dihantar ke Madrasah al-Mashoor al-Islamiah, Kepala Batas, Pulau Pinang sekitar tahun 1927 dan berjaya memperbaiki lagi penguasaan bahasa Arabnya.

Tidak lama kemudian, bermulalah pengembaraannya ke India sekitar tahun 1928 untuk melanjutkan pengajian. Di India, beliau memperoleh pengalaman yang berharga dengan mengikuti pergerakan Mahatma Ghandi dan sempat berkenalan dengan beberapa pemimpin utama gerakan kemerdekaan India seperti Muhammad Ali Jinnah dan Pandit Nehru.

Di samping itu, beliau sempat melawat Palestin dan berkesempatan menyertai gerakan Arab dan menentang Deklarasi Balfour. Tindakannya itu menyebabkan beliau ditahan pihak British selama beberapa bulan.

Aktif dalam pergerakan Islam

Semasa berada di New Delhi, beliau berjaya mendapatkan segulung ijazah dalam bidang perubatan homeopati dari Ismaeliah Medical College.

Dr Burhanuddin Al-Helmi pulang semula ke tanah air sekitar tahun 1935, sebelum ke Singapura dan bekerja sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Aljunied.

Ketika itu, beliau aktif dalam pergerakan Islam dan beliau berjaya menerbitkan sebuah majalah berjudul Taman Bahagia pada 1937.


KEMERDEKAAN dan keamanan negara yang dikecapi pada hari ini hasil usaha rakyat dengan perjuangan pemimpin terdahulu termasuklah Dr Burhanuddin Al-Helmi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
KEMERDEKAAN dan keamanan negara yang dikecapi pada hari ini hasil usaha rakyat dengan perjuangan pemimpin terdahulu termasuklah Dr Burhanuddin Al-Helmi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Malangnya, British menganggap makalah itu sebagai mengancam mereka yang menyebabkan penerbitannya dihentikan dan dirinya pula ditangkap.

Pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Dr Burhanuddin Al-Helmi dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama dan Adat Istiadat Melayu kepada Jepun yang berpengkalan di Taiping, Perak.

Beliau berusaha mengadakan Kongres Islam pertama pada tahun 1944 bagi mencari kata sepakat menyatukan seluruh umat Islam di Sumatera dan Tanah Melayu.

Dr Burhanuddin Al-Helmi menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 dengan menyandang jawatan Naib Yang Dipertua. Selepas ketuanya, Mokhtaruddin Lasso menghilangkan diri, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua.

Dalam perjuangannya, Dr Burhanuddin Al-Helmi sering mengingatkan rakan-rakan supaya berusaha bersungguh-sungguh. Semasa dalam PKMM, beliau sering memperkenalkan ayat ke-11 surah ar-Ra'd: "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri."

Lantang berjuang

Pada 22 Februari 1947, PKMM di bawah Dr Burhanuddin Al-Helmi membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang menyatukan gerakan Melayu yang tidak sependapat dengan UMNO. Pada 1950 pula, beliau ditangkap kerana dikatakan terlibat menentang keputusan mahkamah tinggi Singapura dalam kes Natrah dan ditahan sehingga 1953.

British menduduki semula Tanah Melayu pada 5 September 1945 dan awal 50-an memperlihatkan perubahan pesat dalam senario politik tanah air.

Perjuangan parti politik ketika itu mula mengangkat slogan ‘merdeka’. Selepas Dato’ Onn Jaafar meletak jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO, kepimpinannya diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Dr Burhanuddin Al-Helmi yang tidak menyertai mana-mana parti politik selepas dibebaskan daripada tahanan politik, dipelawa menyertai Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Dua minggu selepas menganggotai Pas pada 14 Disember 1956, beliau dilantik sebagai Yang Dipertuanya.

JASA pemimpin terdahulu yang lantang menuntut kemerdekaan negara dan mempertahankan Islam membuatkan kita bebas untuk melaksanakan Rukun Islam serta Rukun Iman. -Foto: Canva
JASA pemimpin terdahulu yang lantang menuntut kemerdekaan negara dan mempertahankan Islam membuatkan kita bebas untuk melaksanakan Rukun Islam serta Rukun Iman. -Foto: Canva

British yang menganggap Pas sebagai parti ‘tidak penting’ menumpukan kepada isu agama, mula bimbang dengan Yang Dipertua baharu parti itu.

Ini kerana Dr Burhanuddin Al-Helmi terkenal dengan kelantangan perjuangannya yang mahu memerdekakan tanah air, selain ingin membentuk Tanah Melayu sebagai negara Islam.

Pada Ogos dan Oktober 1953, Pas menyertai persidangan kebangsaan tajaan UMNO-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan pilihan raya Persekutuan tahun 1954 sebagai langkah awal pemerintahan sendiri.

Pas mempertahankan pendirian politik mereka bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu, selain mendesak bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara menggantikan bahasa Inggeris dan memberikan sokongan sepenuhnya rombongan Tunku Abdul Rahman ke London mendesak kerajaan British mengadakan pilihan raya.

Hasil desakan tersebut, kerajaan British bersetuju mengadakan pilihan raya 1955.

Beliau kemudian menjadi ahli Parlimen selepas memenangi kerusi di Besut, Terengganu sempena pilihan raya umum pada 1959.

Suara beliau nyaring didengari dalam dewan persidangan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan isu yang diperdebatkan sering mendapat perhatian ahli dewan sehinggalah beliau ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Benar, kehidupan Dr Burhanuddin Al-Helmi tidak dapat lari daripada perjuangan dan penjara, namun beliau tidak pernah mengatakan ‘tidak’ dalam perjuangannya.

Sekali lagi pada tahun 1964, beliau dipenjarakan. Lima tahun kemudian, beliau meninggal dunia pada 1969 dan dikebumikan di Taiping, Perak.

*Artikel ditulis oleh Dr Farid Mat Zain, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!