Alat bantuan pendengaran beri harapan baharu

Muhammad Arman Busrain bersama rakan-rakan.
Muhammad Arman Busrain bersama rakan-rakan.
A
A
A

Dilahirkan cacat pendengaran dan bisu, Muhammad Arman Busrain Mohd Faizal,13, sering menggunakan tulisan untuk berinteraksi dengan ibu bapanya memandangkan mereka kurang faham penggunaan bahasa isyarat.

Menurut Arman, setiap kali mahu menyatakan sesuatu dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan keluarganya.

“Saya akan menulis untuk berkomunikasi dengan ibu bapa dan tunjukkan kepada mereka. Kalau pergi ke pasar raya dan mahukan sesuatu, saya akan ambil barang itu, jadi ibu sedia maklum yang saya mahukannya,” katanya kepada Sinar Harian.

“Bagaimanapun selepas mendapat bantuan alat pendengaran ini, komunikasi bersama keluarga, guru-guru dan rakan menjadi mudah. Walaupun tidak membantu saya mendengar 100 peratus tetapi maklumat yang disampaikan mereka mudah difahami,” tambah beliau.

Arman merupakan salah seorang penerima bantuan melalui Program Pusat Audiometrik Bergerak (Mobile Hearing) yang telah dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL).

Melalui inisiatif baharu di bawah program Zakat CSR ini, TH telah menyumbangkan sebanyak RM1 juta dengan menyerahkan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak.

Ia dilengkapi dengan dua bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukan dan membantu individu kurang bernasib baik dengan masalah pendengaran.

Alat bantuan pendengaran yang diterima Muhammad Arman memberikan kemudahan kepadanya untuk belajar dan berinteraksi dengan masyarakat.
Alat bantuan pendengaran yang diterima Muhammad Arman memberikan kemudahan kepadanya untuk belajar dan berinteraksi dengan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Arman, selain memudahkan dia berinteraksi dengan masyarakat, alat bantuan pendengaran itu juga memudahkannya belajar di dalam kelas.

“Saya seronok dapat bantuan ini kerana tanpa alat bantuan pendengaran, saya susah untuk faham apa yang cikgu ajar di dalam kelas. Saya berjanji kepada diri sendiri untuk berlajar bersungguhsungguh agar suatu hari nanti saya juga dapat membantu insan yang senasib,” ujarnya.

Beliau yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu bahawa pernah kecewa kerana dilahirkan cacat pendengaran.

“Pada mulanya ada rasa kecewa, kenapa saya tidak seperti kakak dan abang yang boleh bercakap serta mendengar seperti biasa. “Namun, saya sentiasa berfikiran positif kekurangan yang ada pada diri ini tidak akan menjadi penghalang untuk berjaya,” tambahnya.

Sahsiah terbaik

Menurut warden asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Mohd Sukri Mohamad, menjaga dan mendidik anakanak istimewa bukan mudah memandangkan hati mereka perlu dijaga kerana mudah terguris.

Beliau berkata, banyak dugaan dan rintangan yang dihadapi kerana mereka bukan seperti murid-murid lain disamping memerlukan kesabaran ketika menjaga mereka. Menurutnya, begitu juga dengan Arman yang mudah tersinggung dan cepat ‘terasa’ dengan tindakan orang lain.

“Saya kenal dia hampir tiga tahun dan dia banyak menghabiskan masa di asrama, apa-apa masalah dia akan mengadu, murid-murid sebegini sebenarnya sangat sensitif.

“Contohnya kalau masa itu kita kurang masa dengan dia dan melayan murid lain dia akan rasa kecil hati, mulalah tanya sama ada kita sayang atau tidak,” ujarnya.

Alat bantuan pendengaran yang diterima Muhammad Arman memberikan kemudahan kepadanya untuk belajar dan berinteraksi dengan masyarakat.
Alat bantuan pendengaran yang diterima Muhammad Arman memberikan kemudahan kepadanya untuk belajar dan berinteraksi dengan masyarakat.

Sementara itu, Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Nor Haslia Hairol Anuar menyifatkan Arman merupakan seorang pelajar yang baik, ringan tulang dan mendengar kata.

Ujarnya, dari segi pelajaran, Arman pada mulanya sukar untuk menerima pembelajaran, namun apabila mula tahu cara komunikasi dengan guru dan kawankawan, dia menunjukkan peningkatan.

“Lagipun Arman ini seorang yang cepat belajar, dia pernah dipilih sebagai sahsiah terbaik dari segi keperibadian.

Dalam kelas pula, walaupun dia bukan teratas namun mampu bersaing ke arah itu.

“Apatah lagi sekarang telah mempunyai alat bantuan pendengaran. Ia akan membantu Arman untuk lebih faham apa yang diajar oleh guru di kelas,” ujarnya.

Nor Haslia turut berpendapat, salah satu perkara wajib yang perlu ada untuk golongan cacat pendengaran adalah alat bantuan pendengaran.

“Bila dia pakai, dalam lima hingga 10 peratus tambah pendengaran mereka. Jika sebelum ini tidak dengar tetapi lepas pakai akan ada sedikit jelas.

“Selain itu, golongan ini sangat memerlukan sokongan ibu bapa dan dibantu oleh guru dalam membimbing mereka untuk berjaya,” katanya.

Mahu terbaik untuk anak

Bapa kepada Arman, Mohd Faizal Othman, 41 berbesar hati dan gembira apabila anak bongsunya menerima bantuan alat pendengaran daripada TH memandangkan dia tidak mampu untuk menyediakan keperluan tersebut kerana masalah kewangan.

Beliau berkata, kos alat bantuan pendengaran itu sangat mahal iaitu berharga sekitar RM7,000 ke atas.

MOHD FAIZAL
MOHD FAIZAL

Menurutnya, walaupun tidak dinafikan ada yang murah dan dijual secara dalam talian, namun dia risau akan menjejaskan kesihatan anaknya.

“Harga RM7,000 hingga RM8,000 itu pada tahun 2020, sekarang mungkin lagi meningkat. Dulu saya pernah terfikir untuk belikan Arman alat bantuan pendengaran, jadi cari sebut harga tetapi apabila lihat, sangat mahal bagi kami golongan sederhana ini.

“Malah, cikgu pernah bertanya kepada saya sama ada Arman mempunyai alat tersebut atau tidak dan tanpa segan jawapan diberi saya tidak mampu. Sedih juga sebenarnya, kita sebagai bapa mesti mahu yang terbaik.

“Dari situ cikgu syorkan kepada saya untuk memohon bantuan ini dan alhamdulillah anak saya dapat. Sebelum berjaya, Arman perlu disahkan terlebih dahulu, masa pemeriksaan doktor beritahu telinga sebelah kanan tidak dengar manakala kiri 40 peratus,” katanya.

Mohd Faizal menzahirkan rasa syukur kerana ada pihak sudi memberi alat bantuan pendengaran kepada anaknya.

Ujarnya, ia sedikit sebanyak membantu seorang kanak-kanak menjalani kehidupan harian dengan lebih baik terutamanya dalam pelajaran.

“Kalau dulu mahu berkomunikasi dia akan tulis atau saya menggunakan abangnya sebagai orang tengah sebab saya kurang mahir dalam bahasa isyarat.

“Sekarang alhamdulillah, dengan adanya bantuan alat pendengaran mudah untuk saya berkomunikasi dengannya. Saya juga percaya, dia akan lebih selesa untuk belajar,” jelasnya.

Dia turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memberi kata semangat kepada anak yang mempunyai masalah pendengaran.

“Sayangi seperti anak normal dan jangan banding-bandingkan kerana mereka juga ada masa depan yang cerah. Sebab kadang-kadang saya lihat ada yang terabai,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!