Himpunan terbesar 24,000 Huffaz Malaysia

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) menerima cenderahati ketika Majlis Himpunan 23k Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) menerima cenderahati ketika Majlis Himpunan 23k Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada tahun lalu.
A
A
A

Rahmat ALLAH SWT merupakan satu anugerah yang amat diperlukan sama ada di peringkat individu, komuniti, negara dan ummah dalam urusan duniawi mahupun urusan ukhrawi.

Ia merupakan asas kepada kesejahteraan, keberkatan, kehidupan yang toyyibah serta nusrah (pertolongan) ALLAH SWT.

Kepentingan rahmat ini dapat difahami melalui pensyariatan amalan memberi dan menjawab salam dalam kehidupan harian seorang muslim.

Amalan memberi dan menjawab salam itu tidak lain adalah satu praktis saling mendoakan untuk mendapatkan keselamatan, rahmat dan barakah antara satu sama lain.

Amalan lain yang turut menjadi sebab turunnya rahmat ALLAH SWT dengan banyaknya kepada umat ini ialah amalan berkumpul dan membacakan al-Quran.

Dalam satu hadis Abu Hurairah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Dan tidaklah berkumpul mana-mana kaum di rumah dari rumah-rumah ALLAH, mereka membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mereka mempelajarinya antara mereka, melainkan turunnya sakinah dan rahmat ke atas mereka dan mereka dinaungi para mailakat. Dan ALLAH menyebut nama mereka di dalam (majlis) para malaikat di sisi-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim)

Seramai 23,000 pelajar tahfiz hadir memeriahkan Himpunan 23k Huffaz Malaysia pada tahun lalu.
Seramai 23,000 pelajar tahfiz hadir memeriahkan Himpunan 23k Huffaz Malaysia pada tahun lalu.



Himpunan terbesar sejak 2015 Bersesuaian dengan kandungan pedoman Nabi Muhammad SAW ini, Gabungan Persatuan Institusi Tahfi z al-Quran Kebangsaan (PINTA) menganjurkan Himpunan 24k Huffaz Malaysia bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 September ini.

Artikel Berkaitan:

Himpunan 24k Huffaz Malaysia ini merupakan himpunan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah PINTA seluruh Malaysia.

Dengan kerjasama yang baik 14 pengerusi PINTA dari 14 negeri di seluruh Malaysia, negara kita bakal menyaksikan himpunan lautan ahli dan pelajar tahfiz al-Quran buat kali ke-5.

Jika dengan hanya beberapa orang yang membentuk halaqah (majlis) al-Quran itu pun sudah menghasilkan empat perkara yang hebat tadi, tidak dapat dibayangkan betapa banyaknya sakinah, rahmat, kehadiran malaikat dan pandangan kemuliaan yang akan terhasil melalui himpunan 24,000 huffaz ini.

Himpunan huffaz ini telah mula diadakan sejak tahun 2015 dengan jumlah kehadiran peserta seramai 10,000 orang ahli komuniti tahfiz al-Quran. Himpunan buat julung kali ini telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menyusuli himpunan ini, pada tahun berikutnya iaitu 2016, PINTA berjaya menghimpunkan komuniti tahfiz al-Quran seramai 20,000 orang.

Impak himpunan huffaz Semasa himpunan kali ke-2 ini, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), pertama kalinya dasar yang sedemikian dibangunkan dalam sejarah pendidikan negara sejak penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat pada tahun 1966 yang bernaung di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Himpunan huffaz bermula pada tahun 2015 dengan kehadiran seramai 10,000 orang komuniti tahfi z al-Quran dan semakin bertambah setiap tahun.
Himpunan huffaz bermula pada tahun 2015 dengan kehadiran seramai 10,000 orang komuniti tahfi z al-Quran dan semakin bertambah setiap tahun.



Dasar ini sangat penting bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan tahfiz di Malaysia.

Pada tahun 2017, himpunan huffaz kali ketiga telah berjaya diadakan dengan kehadiran komuniti tahfiz al-Quran seramai 30,000 orang.

Impak daripada perhimpunan inilah, pihak kerajaan telah mula memberikan perhatian yang serius kepada pembangunan institusi tahfiz melalui peruntukan khusus sebanyak RM30 juta.

Bermula dari tahun itu juga, suatu peruntukan khusus kepada pendidikan dan institusi tahfiz telah mula dimasukkan secara jelas di dalam bajet negara.

Disebabkan faktor sosiopolitik dan ancaman pandemik Covid-19, himpunan ini tidak dapat diadakan selama lima tahun.

Hanya pada tahun 2023 lalu, himpunan kali keempat berjaya diadakan dengan kehadiran seramai 23,000 warga komuniti tahfiz dari seluruh negara.

Himpunan ini telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini dengan tema Huffaz Adalah Tonggak Modal Insan Negara, seramai 24,000 warga komuniti tahfiz negara ini berhimpun untuk menjayakan Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia.

Bilangan 24,000 adalah satu jumlah yang signifi kan. Jumlah ini hampir menyamai statistik bilangan murid berasrama penuh di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang diselia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berjumlah 26,048 pelajar.

Bagaimanapun, jumlah ini bukanlah bilangan keseluruhan pendidik dan pelajar tahfiz yang ada. Masih ramai lagi yang tidak berkesempatan hadir bersama dalam himpunan kali ini.

No Image Caption



Himpunan ini umpama generator rahmat yang akan memberikan tenaga yang sangat luar biasa kepada komitmen antara umara negara dan warga pendidikan tahfiz dalam memartabatkan pendidikan al-Quran bagi membangunkan sumber daya insani negara.

Kerjasama erat dan padu ini pasti akan turut dapat menggerakkan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk semakin memahami bahawa pendidikan tahfiz ini juga memainkan peranan yang penting dalam mewarnakan corak modal insan negara pada masa hadapan.

Ia sekali gus menjadi bukti bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang benar-benar menepati konsep Madani di mana pembinaan sebuah masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan diberikan tumpuan yang sebaiknya.

Harapan terbesar himpunan yang akan dihadiri Perdana Menteri ini adalah bagi menzahirkan kepentingan dan kemuliaan pendidikan tahfiz al-Quran sebagai pendidikan asas umat Islam.

Dalam masa sama, himpunan ini turut menyampaikan suara komuniti tahfiz al-Quran negara ini bahawa mereka juga merupakan elemen penting pembangunan negara Malaysia serta penyumbang yang signifi kan kepada sumber daya insani masa hadapan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!