Serbuan rumah amal: 13 kanak-kanak, remaja dipercayai mangsa liwat

Razarudin (dua dari kanan) ketika sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.
Razarudin (dua dari kanan) ketika sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 13 kanak-kanak dan remaja dipercayai menjadi mangsa liwat berdasarkan saringan yang dijalankan susulan serbuan Op Global sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada 2 hingga 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, saringan dijalankan termasuk menerusi temu bual dijalankan kesemua mereka yang diselamatkan itu.

Beliau berkata, empat daripada 13 mangsa dikenal pasti menerusi serbuan pertama.

Menurutnya, kesemua mangsa didapati berumur belasan tahun.

"Pada mulanya siasatan awal mendapati empat kanak-kanak dipercayai telah diliwat.

"Bagaimanapun, setelah saringan dan temu bual dijalankan, kami mendapati sembilan lagi kanak-kanak turut menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapo) di sini pada Jumaat.

Katanya, berkenaan dengan siasatan dakwaan liwat, pihaknya menahan lima individu.

Artikel Berkaitan:

"Empat lelaki disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 manakala seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Menerusi siasatan di Negeri Sembilan, seorang wanita telah dituduh di Mahkamah Port Dickson semalam di bawah 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan pengabaian, penganiayaan kepada kanak-kanak," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!