Pengasuh menangis teresak-esak dituduh sebabkan kematian Al-Fateh

Nor Afifah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat
Nor Afifah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat
A
A
A

ALOR GAJAH - Pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat atas pertuduhan mengakibatkan seorang bayi lelaki maut di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) pada minggu lalu.

Tertuduh, Nor Afifah Abdullah, 34, menangis teresak-esak dan mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak itu yang mengenakan jubah dan tudung hitam kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang bayi lelaki bernama Muhammad Al-Fateh Amri Mohd Fikry Amri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 6 September lalu.

Pendakwaan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.

Susulan itu, polis telah menahan suspek yang beralamat di Endau, Johor di pusat jagaan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang oleh anggota Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Suspek sebelum ini direman selama seminggu selepas perintah reman dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri bermula Sabtu lalu.

Hasil laporan bedah siasat yang diperoleh daripada Unit Forensik Hospital Alor Gajah mengesahkan punca kematian Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri adalah kerana lemas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!