[VIDEO] Remaja 17 tahun mengaku tunggang motosikal lawan arus, cederakan polis

A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik di sini pada Jumaat atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota polis Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun dan hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Marlissa Mohd Fahmy selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Prosiding tersebut berlangsung secara tertutup berikutan tertuduh merupakan pesalah bawah umur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR secara melulu dan berbahaya di atas jalan raya secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada orang awam iaitu Koperal Mohamed Allif Adi, 36.

Kesalahan itu dilakukan pada 28 Julai 2024, jam lebih kurang 2 pagi di Kilometer 36(S) Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dalam daerah Seremban.

Tertuduh berkerusi roda ketika hadir ke mahkamah
Tertuduh berkerusi roda ketika hadir ke mahkamah

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun dan lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 dan menetapkan 20 November ini untuk mengemukakan fakta dan hukuman serta laporan akhlak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis trafik dan remaja lelaki parah selepas kedua-dua motosikal ditunggang dipercayai bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya LEKAS.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) berkenaan sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain.

Anggota berkenaan kini bergelut dengan simptom kehilangan memori dan masih belum dapat memulakan tugas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!