Surah al-Jumu’ah panduan isi jiwa merdeka

Malaysia #QuranHour turut mengupas surah al-Hujurat, hadis Nabi dalam memahami dan mengamalkan Rukun Negara

MALAYSIA #QuranHour berlangsung dengan jayanya di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan turut diadakan di 4,087 lokasi lain di seluruh negara.
MALAYSIA #QuranHour berlangsung dengan jayanya di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan turut diadakan di 4,087 lokasi lain di seluruh negara.
A
A
A

MALAYSIA #QuranHour kali ke-10 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya berlangsung dengan penuh gemilang.

Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengasas WUIF yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Program selama kira-kira satu jam itu turut diadakan serentak di 4,087 lokasi di seluruh negara selain turut dilangsungkan di Makkah, Madinah, Jepun dan Thailand serta mendapat 810.5 juta capaian di media sosial.

Bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara, apakah yang dibincangkan dan dikupas dalam program tahunan itu? Seterusnya apakah tindakan yang perlu kita amal dan laksanakan?

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail ketika mengupas mengenai isi kandungan surah al-Jumu’ah menjelaskan, ayat kesembilan surah tersebut memberikan penyelesaian kepada umat Islam.

USTAZ FAZRUL
USTAZ FAZRUL

Menurutnya, pada ayat pertama hingga kelapan, umat Islam perlu mengambil panduan wahyu daripada Tuhan dan jangan mengulang kesalahan orang-orang terdahulu yang diberikan wahyu namun mereka tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Artikel Berkaitan:

“Akhirnya mereka berantakan dan menjajah sesama sendiri dan dilaknat serta dikutuk sehingga ke hari ini kerana mereka lupa untuk bertasbih dan mengingati ALLAH SWT.

“Maka pada ayat kesembilan surah sama, ALLAH SWT memberikan penyelesaiannya kepada kita iaitu mengingati-NYA melalui hadir ke masjid pada hari Jumaat, mendengar khutbah dan kembali mengamalkan tilawah (bacaan al-Quran), tazkiah (penyucian) dan ta’limul kitab walhikmah (pembelajaran isi kandungan al-Quran dan hadis),” hurainya.

Intipati al-Quran dikaitkan bersama Rukun Negara

Ujarnya, khutbah yang disampaikan selama 10 hingga 30 minit itu merupakan pasak untuk kita semua mengulang kembali tugas Rasulullah SAW yang melakukan transformasi dan berjaya membawa kemerdekaan kepada umat Islam.

“Inilah perkara yang perlu ditekankan iaitu institusi khutbah dan hari Jumaat adalah pasak untuk kita mengingat ALLAH seperti disebutkan dalam ayat pertama itu.

“Apabila kita selalu bertasbih mengingati ALLAH, maka kita akan Percaya kepada Tuhan. Apabila kita bertebaran selepas Jumaat dan bekerja, kita tidak akan lupa untuk Setia kepada Raja dan Negara kerana masih ada Al-Malik (YANG MAHA BERKUASA) walaupun kita berkuasa di dalam pejabat kita,” hurainya panjang.

Tambah Ustaz Fazrul, apabila institusi khutbah diperkasakan, kita akan sedar bahawa kita perlu untuk menghargai Keluhuran Perlembagaan kerana ia datang daripada Al-Kuddus (YANG MAHA SUCI).

“Apabila melihat kepada Kedaulatan Undang-Undang, kita tahu bahawa yang paling berkuasa dan penguat kuasa undang-undang yang paling besar dalam dunia ini adalah Al-Aziz (YANG MAHA PERKASA).

“Ia memberi kesan kepada kita dan pegawai yang hadir mendengar khutbah bahawa kita tidak akan menyalahgunakan kuasa serta tidak terlibat dengan rasuah seperti diingatkan dalam khutbah Jumaat,” katanya.

KIRA-KIRA 1,500 peserta hadir menjayakan Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
KIRA-KIRA 1,500 peserta hadir menjayakan Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Hujahnya lagi, sekiranya kita ada melakukan kesalahan atau salah guna kuasa, kita perlu kembali semula atau reset dan memperbaiki kesalahan yang dibuat selepas mendengar khutbah itu.

“Apabila mendengar khutbah juga kita akan semakin dekat dengan Al-Hakim (YANG MAHA BIJAKSANA) sehingga kita sopan dalam bercakap dan bijaksana dalam tugasan kerana mendapat hikmah daripada Al-Hakim,” ujar beliau.

Nasihatnya, perbezaan kaum dan latar belakang dalam organisasi, negeri dan negara bukanlah penyebab untuk kita semua berantakan dan bergaduh, sebaliknya mengambil peluang dan kebaikan dengan kepelbagaian serta perbezaan tersebut untuk terus membangunkan negara melalui panduan wahyu ALLAH SWT.

Resolusi Malaysia #QuranHour

Sebagai resolusi dan kesimpulannya, Ustaz Fazrul menyeru semua untuk mengambil panduan daripada perbincangan sekaligus beramal dan melaksanakannya dalam kehidupan seharian:

DUTA Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yükse (tengah) turut hadir pada program Malaysia #QuranHour.
DUTA Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yükse (tengah) turut hadir pada program Malaysia #QuranHour.

1 - Mengutamakan kepentingan agama agar kita tidak meletakkan dunia ini lebih penting daripada tasbih atau mengingati ALLAH SWT.

2 - Mengamalkan adab dan nilai kesantunan yang tinggi, manifestasi kepada Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

3 - Sebarkan kebaikan berpandukan hadis Nabi Muhammad SAW untuk kita terus memberi dan menyebarkan salam selain berkongsi rezeki, menyebarkan kebaikan dengan silaturahim dan solat malam seperti solat sunat tahajud.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!