'Mereka diasingkan dari ibu bapa sejak umur dua tahun'

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 392 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan menerusi serbuan Op Global dilaksanakan pihak polis sebelum ini didapati diasingkan dari ibu bapa sejak berusia dua tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil saringan menerusi temu bual yang dijalankan mendapati kesemua mangsa merupakan generasi ketiga serta keempat di pusat asuhan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati apabila berumur dua tahun, mereka akan diasingkan dari ibu bapa serta keluarga dan diletakkan di rumah amal berkenaan.

"Selain itu, siasatan mendapati ada dalam kalangan ibu bapa mangsa berada selama enam tahun di luar negara seperti Arab Saudi dan Turki.

"Kita melihat mereka ini tidak mendapat pendidikan sebagaimana kanak-kanak lain, yang mana sepatutnya sekolah tapi tidak bersekolah, itu juga satu penganiayaan kepada kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Razarudin turut menolak dakwaan sebuah syarikat dilindungi pihak berkuasa susulan penularan gambar pengurusan tertinggi syarikat berkenaan bersama pegawai tinggi PDRM.

"Saya juga pernah bergambar dengan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu ketika menyertai perlumbaan kuda lasak di Terengganu, tidak bermaksud saya menyokong mereka, salah tetap salah.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tetap diambil sekiranya siasatan yang dijalankan didapati ada unsur jenayah seperti ajaran yang menyeleweng dan jenayah seksual," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik syarikat GISB Holdings (GISBH).

Seramai 10 daripada 402 kanak-kanak yang terdiri daripada kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!