Isu GISB: PKPU Jakim tampil perjelas peranan Jakim

Mohd Ajib
Mohd Ajib
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil memberi penjelasan berhubungan peranan Jakim dalam isu Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.

Presidennya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia dibuat susulan kenyataan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berhubung peranan dan bidang kuasa Jakim dalam isu GISB pada Khamis telah menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif masyarakat terhadap fungsi Jakim.

“Justeru, PKPU merasa perlu memberikan penjelasan dan mempertahankan fakta-fakta yang telah dinyatakan.

“Adalah penting untuk difahami bahawa Jakim adalah sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Jakim juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, media melaporkan Abu Hafiz berkata, terdapat keperluan untuk rombak Jakim susulan tindakan yang diambil ke atas entiti berkait dengan GISB itu didakwa agak lewat.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa pihak berkuasa agama yang didakwa tidak mahu memberi perhatian serius kepada kajian kumpulan pengkaji dan aktivis yang memantau kegiatan GISB itu.

Menurut Mohd Ajib, Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan diambil berlandaskan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, ia berikutan Jakim bukan sebuah agensi berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang dan isu-isu melibatkan kes seperti GISB itu bukan di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

“PKPU ingin menekankan, dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila melibatkan bidang kuasa negeri-negeri.

“Oleh itu, Jakim sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!