Nur Syamiera raih emas pertama renang UiTM
PERENANG Universiti Teknologi MARA (UiTM) Nur Syamiera Narisya Rohissyam bangkit daripada kekecewaan bagi meraih pingat emas buat pasukannya pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada hari kedua acara renang.
Perenang tersebut menggenggam emas pertama buat dirinya di Pusat Aquatik Universiti Utara UUM dalam acara 1,500 meter renang gaya bebas wanita dengan catatan masa 25:52:91s pada Khamis.
Beliau berjaya mengatasi pencabarnya dari Taylor's University, Yap Jia Huey untuk pingat perak dengan catatan masa 26:41:12s dan juga rakan seuniversitinya, Kamilia Adriana (27:18:59s) bagi pingat gangsa.
Pada saingan hari pertama pada Rabu, Nur Syamiera hanya memungut pingat perak dalam acara 800 meter gaya bebas wanita dan pingat gangsa acara 400 meter rampaian individu.
Menurutnya, kejayaan tersebut juga merupakan kemenangan pertamanya pada SUKIPT dan beliau bersyukur dapat menyumbang pingat emas pertama buat UiTM dalam SUKIPT 2024 melalui acara renang.
"Selepas gagal mendapat emas pada hari pertama, saya tidak berputus asa malah mencuba lagi untuk mendapatkan emas dan alhamdulillah acara ketiga saya ini akhirnya berjaya.
"Faktor kemenangan ini adalah kerana pengalaman pernah bersaing dengan perenang yang mendapat pingat perak acara ini dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sebelum ini. Pencapaian masa ini, saya anggap ianya juga agak baik untuk saya pertingkatkan lagi dalam acara di masa depan," katanya.
Sementara itu, jurulatih renang UiTM Adli Safwan Sarman berkata, seramai sembilan perenang daripada pasukan tersebut menyertai acara renang dan pencapaian Nur Syamiera Narisya meraih pingat emas merupakan satu kebanggaan.
"Kami bersyukur atas pencapaian emas pertama kerana bukan mudah untuk mendapat emas kerana pasukan lain turut dibarisi pemain yang berkaliber dan telah beraksi di kejohanan yang lebih tinggi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!