'Mana ada polis tak bagi solat'

Tan Sri Razarudin Husain
Tan Sri Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Mana ada kita (polis) tak bagi solat... tidak benar, mereka boleh solat secara bergilir-gilir atas faktor keselamatan," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengulas dakwaan penghuni rumah amal yang diselamatkan menerusi Op Global baru-baru ini didakwa tidak dibenarkan menunaikan ibadah itu.

Razarudin berkata, kawalan keselamatan dijalankan secara ketat.

"Dakwaan mengatakan polis tak benarkan solat tak betul, malah bagi mereka yang ditempatkan sementara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ini, ada masjid di sini.

"Kita mahu keselamatan mereka semua terjamin dan mereka boleh solat, tak jadi satu halangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu video tular di media sosial berkaitan dakwaan individu yang diselamatkan menerusi Op Global tidak dibenarkan menunaikan solat.

Sementara itu, berkaitan tohmahan kononnya polis lewat mengambil tindakan berhubung kes melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), jelas beliau siasatan dijalankan terlebih dahulu sebelum apa sahaja tindakan diambil.

"Sebarang tindakan akan melalui proses siasatan merangkumi pengumpulan maklumat dari pelbagai sudut.

"Tindakan polis adalah secara berterusan dan masa ini kita bertindak berdasarkan keterangan serta proses yang dijalankan telah mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Menurutnya, individu ditahan terdiri 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!