Jakim digesa pantau lebih ketat premis guna nama agama

Jakim digesa melakukan pemantauan lebih ketat terhadap premis yang menggunakan nama agama terutamanya institusi pendidikan dan kebajikan yang melibatkan kanak-kanak. (Gambar kecil: Bibi Sharliza)
Jakim digesa melakukan pemantauan lebih ketat terhadap premis yang menggunakan nama agama terutamanya institusi pendidikan dan kebajikan yang melibatkan kanak-kanak. (Gambar kecil: Bibi Sharliza)
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa melakukan pemantauan lebih ketat terhadap premis yang menggunakan nama agama terutamanya institusi pendidikan dan kebajikan yang melibatkan kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, soal keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tidak boleh dikompromi.

"Setiap premis terlibat mesti melalui pemeriksaan ketat dan rapi untuk memastikan tiada unsur penderaan, eksploitasi atau manipulasi agama.

"Penting untuk kita mengambil pendekatan yang teliti dalam menangani isu ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kanak-kanak adalah amanah yang perlu dijaga, dilindungi dan diberikan pendidikan yang seimbang.

Ujarnya, sebarang bentuk eksploitasi terutamanya yang berlaku di institusi yang dikaitkan dengan keagamaan tidak boleh dibiarkan berterusan.

"Kegagalan melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi adalah satu pengkhianatan besar kepada kepercayaan dan tanggungjawab sebagai masyarakat.

"Mereka tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mencapai kepentingan peribadi atau ekonomi mana-mana pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pendedahan premis-premis yang terlibat dalam aktiviti GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) menggunakan kanak-kanak bagi tujuan yang bertentangan dengan hak dan kesejahteraan mereka adalah amat mengecewakan.

Jelasnya, apa yang lebih mengejutkan, eksploitasi ini berlaku di bawah naungan institusi yang sepatutnya berperanan mendidik, menjaga kebajikan dan melindungi mereka.

"Difahamkan mereka adalah orang agama dan kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap mangsa, lebih-lebih lagi apabila menggunakan nama agama sebagai perisai untuk tindakan tidak bermoral ini.

"Kita juga perlu memastikan kanak-kanak yang telah menjadi mangsa eksploitasi menerima sokongan sepenuhnya, merangkumi dari segi perlindungan, pendidikan serta bantuan dalam aspek mental dan emosi mereka," katanya.

Selain itu katanya, GAP.MY yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan komited menawarkan bantuan kaunseling dan guaman kepada mangsa dan keluarga yang terlibat.

Pihaknya juga berharap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dapat terlibat secara aktif dalam memantau proses siasatan, mengkaji punca utama peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan institusi keagamaan serta memberikan rekomendasi kepada kerajaan untuk memastikan semua hak kanak-kanak dilindungi.

"Kerajaan juga digesa memperkasakan pendidikan seksualiti yang komprehensif kepada anak-anak tentang sentuhan selamat atau sentuhan tidak selamat dengan segera.

"Ini termasuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka terhadap tubuh badan mereka, konsep autonomi badan serta bagaimana mengenal pasti dan melaporkan sentuhan yang tidak selamat," katanya.

Jelasnya, pendidikan ini bukan sahaja memberikan kanak-kanak pengetahuan asas tentang tubuh mereka tetapi juga melindungi mereka daripada potensi ancaman penderaan seksual.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!