Spekulasi terjawab, Fazura didakwa fail cerai terhadap Fattah Amin
SHAH ALAM - Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin semakin jelas apabila aktres berusia 41 tahun itu menfailkan penceraian pada Jumaat.
Memetik laporan media, Fazura yang diwakili peguam telah menfailkan penceraian di Mahkamah Syariah, Petaling pada Jumaat.
“Benar, Fazura sudah menfailkan penceraian tetap dia tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya hanya diwakili peguam,” ujar sumber terdekat pasangan itu.
Bagaimanapun setakat ini, punca Fazura berbuat demikian mahupun faktor keretakan rumah tangga mereka masih tidak diketahui.
Sejak beberapa bulan lalu, desas-desus keretakan rumah tangga bintang utama Hero Seorang Cinderella itu mula hangat diperkatakan, sementelah Fazura jarang berkongsi gambar bersama suaminya.
Namun Fazura yang ditemui dalam sebuah majlis menafikan dakwaan itu dan memberitahu tindakannya jarang berkongsi gambar peribadi kerana menghormati pergolakan di Palestin.
Fattah pula memberi alasan kesibukan kerja menjadi faktor mereka jarang dilihat bersama.
Sekadar info, Fazura dan Fattah, 33, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 3 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!