Pejuang tidak bertanding PRK DUN Mahkota, sokong calon PN

Muhkriz bersama ahli Pejuang di sebuah kedai makan di bandar Kluang pada Jumaat.
Muhkriz bersama ahli Pejuang di sebuah kedai makan di bandar Kluang pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Jumaat mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu sebaliknya akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar atau 'Coach Haizan', pada PRK kali ini.

Menurut beliau, walaupun permohonan menyertai gabungan PN belum diterima, namun sokongan tidak berbelah bahagi tetap diberikan kepada PN.

"Kita sudah bincangkan perkara ini secara dalaman di peringkat kepimpinan parti dan memutuskan belum masanya lagi Pejuang bertanding dalam PRK.

"Secara umumnya saya pernah nyatakan sebelum ini, di mana ada UMNO, kami (Pejuang) tiada. Ketika ini Johor dikuasai Barisan Nasional (BN) yang disokong Pakatan Harapan (PH), nampaknya kita kena sokong PN.

"Sebelum ini, sewaktu PRN enam negeri, kita pun sokong calon PN. Malah jentera kami pun bantu mereka (PN)," katanya pada ramah mesra bersama ahli Pejuang di Jalan Penghulu Kassim di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, tindakan Pejuang tidak meletakkan calon pada PRK DUN Mahkota kali ini kerana memerlukan masa untuk membina kekuatan ketika ini.

Jelasnya, langkah itu penting bagi membolehkan Pejuang dapat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, bukan kami datang untuk umumkan calon pada PRK kali ini, tetapi kita hendak tengok suasana di Kluang dan kita hendak tunjukkan Pejuang ini wujud dan sangat aktif.

"Ahli Pejuang tetapi bersama parti dan kalangan mereka ini aktif dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rakyat," katanya.

Sebelum itu pada 7 September lalu, Mukhriz dilaporkan berkata, pihaknya sebelum ini telah mencuba menyertai PN, namun respons yang agak suam atau tidak begitu menyerlah.

Oleh itu, katanya, beliau akan menggunakan pendekatan mewujudkan gabungan baharu sebagai pilihan bagi memohon menyertai PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Untuk rekod, Pejuang pernah memohon menyertai PN, namun ditolak Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 20 Mac tahun lalu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September sebagai hari pengundian manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!