Penerbangan: Trafik penumpang Malaysia ambil masa untuk pulih
MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan trafik penumpang Malaysia mengambil sedikit masa untuk pulih berikutan cabaran yang dialami syarikat penerbangan baru-baru ini, termasuk isu penghantaran pesawat dan kekurangan alat ganti serta tenaga kerja.
Satu nota penyelidikan oleh MIDF mengunjurkan trafik penumpang Malaysia mencapai 94 peratus berbanding jangkaan pertumbuhan sebanyak 102 peratus sebelum itu.
Pada separuh pertama 2024, jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk mencecah 85 peratus, dengan purata faktor muatan meningkat kepada 79 peratus (3.4 mata peratusan melebihi separuh pertama 2019).
"Semakan pantas bilangan trafik penumpang pada Julai 2024 menyaksikan pemulihan yang kukuh sebanyak 92 peratus, dipacu oleh sektor antarabangsa, mengatasi sektor domestik sejak November 2023.
"Pemulihan ini disokong oleh penyambungan semula dan pelancaran syarikat penerbangan asing, menjadikan jumlah syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia kepada 71 (tahun kewangan 2019: 69 syarikat), dengan lima lagi dijangka beroperasi pada separuh kedua 2024," katanya.
Justeru itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor penerbangan.
Ia memilih Capital A sebagai pilihan teratas sektor itu dengan saranan 'Beli' pada harga sasaran (TP) RM1.06 berikutan perniagaan penerbangannya kurang terjejas oleh gangguan baru-baru ini.
Di samping itu, barisan pesawat Capital A tidak terjejas dengan ketara ketika pandemik, membolehkannya fokus kepada pengembangan dan memberi peluang syarikat itu mengisi jurang kapasiti oleh pesaingnya.
"Dalam nota berasingan, kumpulan itu juga dalam peringkat akhir dan berada pada landasan untuk melengkapkan pelan penstrukturan semula PN17 menjelang suku keempat 2024," katanya.
Pada separuh kedua 2024, Capital A merancang untuk mengaktifkan semula 15 pesawat dan menjangkakan lapan penghantaran baharu, sekali gus meningkatkan barisan pesawat yang beroperasi daripada 82 peratus pada suku kedua 2024.
Syarikat penerbangannya (kecuali Kemboja) berjaya meningkatkan kapasiti tempat duduk sebanyak 79 peratus pada suku berkenaan, dengan faktor muatan purata yang kukuh sebanyak 90 peratus.
Ia menjangkakan trafik penumpang pulih kepada 89 peratus pada suku ketiga 2024, disokong oleh pemulihan kapasiti tempat duduk sebanyak 82 peratus.
Sementara itu, pemulihan tahap kendalian penumpang pada separuh pertama 2024 Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencapai momentum dengan keseluruhan trafik penumpang, termasuk operasi di Malaysia dan Turkiye (ISG) mencapai 95 peratus pada tahap sebelum pandemik.
Pemulihan ini sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan 63 peratus dalam trafik antarabangsa di ISG berbanding 2019, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!