PKR selar kenyataan Abdul Hadi dakwa pimpinan Islam kerajaan lemah

Amidi Abdul Manan, Abdul Hadi Awang
Amidi Abdul Manan, Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelar kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pimpinan Melayu-Islam dalam kerajaan sebagai lemah.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan berkata, Abdul Hadi bersifat angkuh dan perlu melihat diri sendiri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Abdul Hadi lupa bahawa beliau terikut dengan kehendak rakan sekutu untuk menderhakai titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) bagi menyelesaikan kemelut 'Parlimen tergantung' pada 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa parti-parti dominasi kaum Melayu dalam kerajaan tidak berwibawa menangani rakan mereka yang bukan Islam dalam isu sijil halal.

Katanya, walaupun kebanyakan parti dalam kerajaan adalah berpandukan kepada Melayu dan Islam, ia masih gagal untuk mempertahankan perkara yang melibatkan kesucian agama Islam daripada dicampuri oleh masyarakat bukan Islam.

Mengulas mengenai kesucian agama Islam, Amidi mempersoal keberadaan Abdul Hadi sewaktu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.

“Abdul Hadi juga tidak berdaya dan lemah untuk memberhentikan pencemaran fikrah yang boleh menjerumuskan umat kepada pemikiran khawarij dalam parti beliau sendiri.

“Keangkuhan seorang ulama amat bahaya kepada ummah. Kita ingin melihat keberanian Presiden Pas membetulkan perkara yang sebahagiannya berpunca daripada beliau sebelum dengan angkuh melabel pimpinan lain lemah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!