Ada penduduk Jinjang Selatan Tambahan tercicir terima pampasan rumah
KUALA LUMPUR - Gabungan Isu Perumahan Dan Pampasan Jinjang Selatan Tambahan Kepong mendakwa hak 17 penduduk yang dijanjikan tawaran rumah telah dinafikan.
Setiausahanya, Ameer Khan Bargathalli, proses bancian dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa tidak teratur dan berat sebelah.
Menurutnya, bancian juga didakwa tidak dilakukan secara menyeluruh susulan ada antaranya tidak mendapat tawaran pampasan.
"Ramai ahli keluarga kedua tidak dibanci dengan alasan bujang.
"Pihak gabungan juga mendapati ramai pemilik telah meninggal dunia dan waris mereka telah dinafikan hak," katanya pada penyerahan memorandum kepada Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif di Menara DBKL 1 pada Jumaat.
Beliau berkata, gabungan memohon DBKL memberikan salinan senarai penerima tawaran bagi membolehkan mereka mengesan Ex-TOL (penduduk sementara) atau penduduk luar mengambil hak pampasan rumah tersebut.
"Gabungan mendapati banyak salah laku dalam bancian pemberian rumah ex-TOL kepada penduduk terutama penduduk pihak luar yang mencuri rumah.
"Pemaju cuba untuk bersubahat bersama segelintir pegawai DBKL yang tidak bertanggungjawab dalam pemberian pampasan.
"Satu tindakan tegas dan segera perlu diambil bagi menghalang penduduk luar yang cuba mengambil hak penduduk asal, " katanya.
Justeru katanya, pihaknya meminta tarikh mesyuarat ditetapkan dan tidak ditunda lagi bagi membincangkan isu perumahan dan pampasan itu.
"Keputusan yang kami dapat amat mendukacitakan, segala keputusan dan tuntutan gabungan hanya boleh diputuskan oleh Datuk Bandar.
"Gabungan telah menyediakan data bancian untuk dibentangkan pada Datuk Bandar dan menyelesaikan masalah yang berbangkit," ujar.
Tambahnya, gabungan turut tidak setuju pampasan RM500 kepada pekedai kerana tidak setimpal dengan projek memajukan perumahan yang melibatkan 96 ekar tanah.
Tegasnya, pekedai terlibat seharusnya diberi pampasan rumah percuma.
DBKL sebelum ini memaklumkan beberapa siri perbincangan sudah diadakan DBKL bersama wakil penduduk bagi penyelesaian isu berkenaan sejak 2019.
Lot PT 26640 terlibat dengan penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada pemaju melalui perjanjian pada 23 November 2017.
Kawasan itu akan dibangunkan rumah ganti berkeluasan 900 kaki persegi dan 750 kaki persegi serta rumah mampu milik kepada penduduk ex-TOL setinggan dan rumah panjang Jinjang Selatan Tambahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!