Mat Don sah warganegara Malaysia

Krasniqi teruja melihat MyKadnya. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
Krasniqi teruja melihat MyKadnya. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi hanya selangkah untuk menyarung jersi Harimau Malaya berstatus pemain naturalisasi selepas disahkan menjadi warganegara Malaysia hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, dengan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari lalu kini hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM akan menghantar segera dokumen terbaru berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

"Kami berharap dengan kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya akan dapat memperkasakan lagi pasukan.

Krasniqi (dua, kiri) menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya hari ini. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
Krasniqi (dua, kiri) menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya hari ini. - Foto Football Association of Malaysia (Official)

"Pada masa sama FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini," katanya yang dipetik dari laman Facebook Football Association of Malaysia (Official) sebentar tadi.

Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

Idea itu seterusnya digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat - jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!