Aaron-Wooi Yik tidak sertai Terbuka China
BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengesahkan menarik diri daripada Terbuka China 2024 yang dijadualkan berlangsung di Changzhou pada 17 hingga 22 September depan.
Wooi Yik berkata, mereka terpaksa menarik diri daripada kejohanan Super 1000 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik kerana dia masih dalam proses pemulihan kecederaan retak tulang jari kaki kanan semasa separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 bulan lalu.
“Setakat ini, pemulihan berada pada 70 peratus.
Saya telah memulakan latihan ringan di gelanggang dan akan memulakan latihan penuh minggu depan.
“Bagaimanapun, tidak cukup masa untuk membuat persiapan menghadapi Terbuka China, jadi kami menarik diri Selasa lalu,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara pada Jumaat.
Tambah Wooi Yik, 26, lagi, dia tidak menolak kemungkinan kembali ke gelanggang sekiranya pulih segera untuk dua kejohanan Eropah iaitu Terbuka Artik 2024 dan Terbuka Denmark bulan depan.
Sebagai rekod, Terbuka Artik 2024 akan diadakan di Vantaa, Finland dari 8 hingga 13 Oktober, manakala Terbuka Denmark 2024 akan berlangsung di Odense dari 15 hingga 20 Oktober.
Pada Terbuka Denmark 2023, pemenang pingat gangsa Paris 2024 itu mencipta sejarah apabila memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama mereka dengan kemenangan 21-13, 21-17 ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia.
Wooi Yik berkata, ini kali pertama mengalami kecederaan sedemikian dan mengakui memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.
“Saya perlu bersabar dan berehat, sebab itu saya berhenti latihan selama lebih sebulan,” katanya.
Sebelum ini, jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen mengesahkan pasangan juara dunia 2022 itu tidak akan menyertai Terbuka Hong Kong 2024, yang bermula pada Selasa dan akan berlangsung sehingga Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!